Bernama
NEW YORK: Lebih 1,000 mangsa masih gagal dikenal pasti ketika Amerika Syarikat (AS) memperingati ulang tahun ke-22 serangan 9/11 pada Isnin, lapor Xinhua.
Satu upacara memperingati diadakan pada Isnin di Memorial dan Muzium 11 September Kebangsaan di Lower Manhattan, New York, di mana 2,977 orang yang terbunuh dalam serangan pada 2001 itu diberi penghormatan.
Beberapa hari sebelum itu, identiti dua mangsa – seorang lelaki dan seorang wanita yang namanya dirahsiakan atas permintaan keluarga mereka telah diumumkan.
Dua identiti berkenaan mewakili mangsa ke-1,648 dan ke-1,649 yang dikenal pasti sejak 2001 menggunakan ujian lanjutan oleh Makmal DNA New York City, menurut kenyataan media pejabat Datuk Bandar pada Jumaat.
Bagaimanapun, 1,104 mangsa – 40% daripada mereka yang maut – masih gagal dikenal pasti, katanya.
Bilangan responden pertama 9/11 yang meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan berkaitan ‘Ground Zero’ hampir sama dengan bilangan responden pertama yang meninggal dunia semasa serangan.
“Apabila menara runtuh pada hari yang mengerikan itu, kami kehilangan 343 anggota bomba New York. … Pada tahun-tahun berikutnya, lebih 341 lagi anggota meninggal dunia akibat kanser dan penyakit yang jarang berlaku disebabkan oleh habuk toksik di ‘Ground Zero’,” kata persatuan anggota bomba Greater New York menerusi catatan Facebook pada Isnin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan