Siapa Wan Ji, pendakwah bebas yang dipenjara kerana menghasut?

Malaysiakini

Semalam, Mahkamah Rayuan menolak rayuan pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin, 42, untuk membatalkan sabitan kes hasutan yang dikaitkan dengan Sultan Selangor pada 2014.

Keputusan itu mendapat reaksi pelbagai pihak, termasuk yang menyorot bahawa ahli PKR itu didakwa bawah Akta Hasutan - akta yang pernah dituntut untuk dimansuhkan ketika parti itu merupakan pembangkang dan presidennya Anwar Ibrahim belum menjadi perdana menteri.

Nama Wan Ji bukanlah nama yang asing di forum politik tanah air satu ketika dulu, meski beberapa tahun kebelakangan ini dia lebih banyak tertumpu kepada dakwah di media sosial.

Susulan keputusan kes mahkamahnya, nama Wan Ji disebut—sebut kembali. Ia menumbulkan persoalan tentang siapakah dia.

Pada 2016, Malaysiakini menerbitkan artikel mengenai Wan Ji bagi ruangan Malaysians Kini - siri artikel tentang rakyat Malaysia yang mempunyai kisah menarik.

Berikut merupakan terjemahan bahasa Melayu artikel itu.

Bagi seseorang yang menghafal al-Quran, Wan Ji Wan Hussin tidak kelihatan seperti pendakwah Islam yang tipikal.

Yang pasti, dia mempunyai ‘resume’ yang memberi gambaran dirinya sebagai agamawan. Merupakan hafiz pada usia 13 tahun, Wan Ji belajar di sekolah agama Lubuk Tapah di Pasir Mas, Kelantan, sebelum melanjutkan pelajaran di Karachi, Pakistan.

Alumni Universiti al-Azhar, universiti Islam yang berprestij, bapa kepada empat orang anak ini memiliki ijazah dalam undang-undang syariah dan baru sahaja lulus viva voce (peperiksaan lisan) untuk program sarjana dalam maqasid syariah dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Latar belakang seperti itu sudah lazim pada kebanyakan pendakwah. Namun, penahanannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyampaikan ceramah agama tanpa permit dan kesnya bawah Akta Hasutan kerana didakwa menghina sultan Selangor, sudah tentu membezakannya daripada pendakwah lainnya.

Bercakap dengannya anda akan lebih sedar bahawa lelaki berusia 34 tahun itu (kini 42) tidak seperti orang biasa.

Dengan suara yang lembut, lelaki berkaca mata itu tidak menyesal dengan kritikannya terhadap mufti, menteri yang menjaga hal ehwal Islam, serta institusi agama.

Pengkritik menyifatkan syarahannya sebagai ‘menyeleweng’, tetapi Wan Ji hanya menganggap kritikan itu sebagai ‘normal’, kerana datang daripada mereka yang tidak menyukai apa yang diperkatakannya.

Berikut kisah Wan Ji, daripada mulutnya sendiri.

ORANG TAK SUKA SAYA KERANA SAYA SELALU MENGKRITIK TOKOH AGAMA. Pandangan saya berbeza dengan pandangan tokoh agama di negara ini. Saya kata (di) Malaysia kerana di negara lain, (pandangan saya) tidak pelik. Sebagai contoh, saya telah mengatakan bahawa orang bukan Islam mesti diberi hak untuk menyatakan pandangan mereka.

KENYATAAN DARIPADA MUFTI JARANG BERSIFAT ILMIAH. Walaupun saya tidak nafikan ada yang berilmu - seperti mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad al-Bakri, dan mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor; mufti-mufti ini bersifat akademik bila mengatakan sesuatu.

Tetapi ada yang seperti mufti Perak Harussani Zakaria. Kita tidak tahu sama ada dia ada ilmu atau sebaliknya tetapi kenyataannya tidak ilmiah. Mungkin dia ada ilmu, tapi bila bercakap tak berapa menggambarkannya. Menjadi masalah jika mufti tidak bercakap dengan ilmu. Jika orang biasa boleh bercakap dengan sewajarnya, percakapan mufti sepatutnya lebih berilmu. Kenyataan mufti juga mestilah bebas daripada bias politik. Mempunyai bias politik adalah tidak sihat; seorang mufti mesti bebas daripada politik kepartian.

JABATAN AGAMA GAGAL MEMAPARKAN IMEJ ISLAM YANG BAIK. Ini dapat dilihat dalam isu serbuan khalwat. Saya mungkin dibenci kerana saya menyatakan perkara-perkara ini. Saya diberitahu apabila ada perjumpaan antara masjid dan jabatan agama, nama saya selalu disebut. Saya tidak ada niat lain kecuali untuk kebaikan agama. Imej Islam perlu diperbaiki. Mereka (jabatan agama) berjaya menghancurkan Islam. Saya cuba mengubah apa yang telah mereka musnahkan supaya Islam mempunyai imej yang lebih baik.

CATATAN SAYA MENGENAI ISU MENYENTUH ANJING MENYEBABKAN SAYA PERLU BERURUSAN DENGAN JAIS DAN MUFTI SELANGOR. (Tetapi) tidak ada satu pun mazhab (dalam Islam) yang menyatakan bahawa menyentuh anjing adalah haram (dilarang). Terdapat mazhab yang mengatakan bahawa seseorang itu wajib mencuci tangan selepas menyentuh anjing, tetapi tidak seorang pun mengatakan bahawa adalah haram untuk menyentuh anjing.

Mazhab Syafie mengatakan hendaklah membasuh sehingga tujuh kali, dengan (air untuk) basuhan pertama (bercampur) dengan tanah, manakala mazhab Maliki menyatakan bahawa tidak perlu membasuh pun selepas itu; hanya saja Nabi menggalakkan seseorang untuk berbuat demikian.

YANG MENGATAKAN KITA TIDAK BOLEH MENGIKUTI ALIRAN LAIN TELAH BERBOHONG ATAS NAMA AGAMA. Kita tidak boleh mengatakan bahawa kita hanya boleh mengamalkan satu aliran pemikiran; kita telah pun mengamalkan banyak unsur dari mazhab lain. Mengeluarkan zakat fitrah (bersedekah kepada fakir miskin di akhir bulan puasa) menggunakan wang tunai adalah di bawah mazhab Hanafi dan bukannya mazhab Syafie, maka kita telah menggunakan mazhab Hanafi tanpa kita sedari.

Mengenai konsep penerokaan tanah, kita juga menggunakan mazhab Hanafi, kerana kita perlu mendapatkan kebenaran kerajaan terlebih dahulu sebelum mendapatkan sebidang tanah. Menurut mazhab Shafie, kita tidak perlu meminta izin kerajaan terlebih dahulu.

Mereka yang mengatakan kita tidak boleh mengikuti mazhab lain, seperti (menteri agama) Jamil Khir Baharom - menteri itu telah berbohong atas nama agama. Beliau juga berkata bahawa kesalahan qazaf hanya terpakai kepada zina dan bukannya liwat - kenyataan itu adalah salah. Mazhab Syafie menyatakan bahawa kesalahan menuduh seseorang secara palsu, termasuk zina dan liwat.

POLEMIK ISU SEPERTI MENYENTUH ANJING BERLAKU AKIBAT SENTIMEN KAUM. (Sesetengah) orang Melayu tidak senang dengan orang Cina dan orang Cina mempunyai anjing sebagai haiwan peliharaan. Apabila satu mazhab mengatakan bahawa seseorang perlu mencuci selepas menyentuh anjing, ini telah membawa kepada peningkatan kebencian terhadap orang Cina atas dasar anjing. Itu disebabkan oleh sentimen perkauman, dan ini berlaku kerana faktor politik.

AHLI POLITIK YANG MEMBUAT GAMBARAN SEPERTI MELAYU TERANCAM. Padahal, keadaan ketika itu sama seperti sekarang. Cuma apa yang mereka katakan direkodkan dan kemudian disebarkan. Mereka pernah mengatakan perkara yang sama sebelum ini. Benarkah Melayu diancam? Saya tidak fikir begitu. Orang Melayu yang memegang kuasa yang merasa terancam. Kenapa jadi begini? Kerana mereka telah melakukan kesalahan; rakyat telah melihat kemungkaran mereka.

SAYA TIDAK BERSETUJU BAHAWA HANYA ISLAM BOLEH DISEBARKAN. Perlembagaan Persekutuan menyatakan demikian, tetapi saya tidak bersetuju dengan perkara itu dari sudut agama. Biarkan pengamal undang-undang berdebat jika ia dari sudut undang-undang. Tetapi sebagai seorang yang belajar agama, kenyataan itu adalah salah. Orang bukan Islam harus diberi hak untuk memberi pandangan, berbanding hanya orang Islam yang boleh berbuat demikian. Mungkin sebab itu orang menuduh saya ‘liberal’.

SAYA SOKONG KERAJAAN YANG SEKULAR TETAPI PROAGAMA. Saya tidak mahu jenis kerajaan sekular seperti (presiden pertama Turki) Mustafa Kemal Ataturk, yang menghalang orang daripada mengamalkan agama tetapi seperti (Presiden Turki sekarang Recep Tayyip) Erdogan, yang meraikan kebebasan untuk mengamalkan agama - kerajaan sekular yang tidak menghalang sesiapa daripada mengamalkan agama mereka.

Negara-negara sekular di Barat telah membuktikan betapa keadaan ini menyebabkan lebih ramai orang memeluk Islam. Negara-negara Islam pula saling membunuh, dan rasuah berleluasa. Agama dijadikan sebagai perisai kepada kelemahan pemimpin. Kita lihat bagaimana negara sekular aman. Orang bukan Islam tidak mempunyai masalah dengan orang Islam. Negara sekular yang proagama adalah penyelesaian terbaik.

SAYA TIDAK TAHU ZAKIR NAIK KONONNYA BERKATA DIA PROKEGANASAN. Tetapi saya, antikeganasan, saya tidak suka keganasan yang dibuat atas nama agama. Tetapi saya tidak bersetuju untuk menghalang Zakir daripada memberikan pandangannya. Pada masa yang sama, saya tidak bersetuju dengan menghalang ulama dari agama lain daripada bercakap. Kita kena beri ruang kepada mereka yang mahu bercakap. Jika kita boleh beri stadium kepada Zakir (untuk bercakap), kenapa tidak untuk orang Hindu juga. Jika saya mempertahankan hak Zakir untuk memberi pandangan, selepas ini, jika seorang bukan Islam ingin menyatakan pandangannya, kita mesti memperjuangkan haknya untuk berbuat demikian.

Tetapi saya lebih prodialog. Kalau boleh, bukan Zakir sahaja yang bercakap; Jika dia bercakap tentang Islam dan Kristian, kita juga harus menjemput seorang paderi dan biarkan mereka berdebat. Jangan anggap orang awam sebagai orang bodoh; biarlah mereka menilai sendiri.

Saya juga tidak bersetuju untuk menentang hak orang untuk bercakap dan menyatakan pandangan mereka. Sebab itu saya juga tidak bersetuju bahawa Syiah tidak boleh berceramah kerana saya pasti Sunni tidak akan bersetuju jika mereka tidak dibenarkan berceramah di Iran.

SAYA PERNAH JADI AHLI PAS. Saya juga pernah menjadi AJK dewan ulama PAS Selangor. Bagaimanapun, saya keluar parti secara rasmi pada bulan puasa tahun lalu (2015), selepas muktamar parti.

SAYA MENYERTAI PKR KERANA IA PARTI YANG MENGGAMBARKAN KEADAAN NEGARA. Malaysia adalah sebuah negara berbilang agama, berbilang kaum. DAP masih dilihat sebagai parti majoriti Cina manakala PKR lebih seimbang. PKR adalah manifestasi Malaysia itu sendiri. Ini adalah salah satu faktor utama mengapa saya memilih untuk menyertai PKR. Faktor lain termasuk ramai kawan yang saya ada dalam PKR – Adun Selangor Amirudin Shari, Nik Nazmi Nik Ahmad, dan ahli parlimen Nurul Izzah Anwar. Saya diberi jawatan pengerusi biro agama Pemuda PKR.

Sebagai seorang yang didedahkan dengan gerakan Islam sejak kecil, saya melihat betapa gagalnya gerakan sebegitu apabila menjadi kerajaan.

Contohnya, Ikhwanul Muslimin di Mesir. Saya tidak mengatakan (penyandang presiden Mesir Abdel Fattah) al-Sisi bagus tetapi kita harus mengakui bahawa Ikhwanul Muslimin mempunyai kelemahannya; mereka tidak dapat memenuhi banyak perkara yang mereka janjikan. Pergerakan Islam sentiasa mempunyai polemik mereka contohnya dalam isu hudud.

Rakyat sebenarnya tidak mahu tahu tentang perkara sebegitu; mereka ingin mengetahui lebih lanjut bagaimana mereka boleh memberi makan kepada diri mereka sendiri. Isu-isu seperti akauntabiliti, ketelusan, kredibiliti dalam pentadbiran, dan masalah dalam pengurusan kewangan telah diketepikan daripada pemikiran gerakan Islam.

SAYA HANYA AKAN BERMINAT UNTUK LEBIH TERLIBAT DALAM POLITIK APABILA ADA ‘POLITIK BERILMU’. Saya lebih berminat dengan politik sebegini. Saya tidak suka politik untuk menjatuhkan seseorang. Politik berilmu ialah apabila sesuatu idea perlu dibahaskan. Saya ingin melihat bagaimana parti pembangkang boleh menghadiri program anjuran kerajaan, begitu juga sebaliknya. Kemudian kedua-dua pihak membuat pertimbangan mereka sendiri. Kerana politik negara tidak seperti itu hari ini. Saya masih belum mempunyai impian besar dalam politik.

ISTERI SAYA MASIH AHLI PAS. Saya percaya kepada kebebasan memilih; Saya tidak akan memaksa dia meninggalkan PAS. Ini tidak pernah menjadi isu besar. Saya percaya seseorang mesti melakukan apa sahaja yang mereka percayai. Walaupun saya telah meninggalkan PAS, isteri saya masih mengajar di Pasti (tadika PAS).

SAYA TIDAK MENYERTAI PARTI AMANAH NEGARA TIDAK PERCAYA LAGI GERAKAN ISLAM. Ada yang beranggapan saya menyertai PKR kerana Amanah masih belum ditubuhkan pada masa itu. Sebenarnya, saya tidak percaya dengan politik gerakan Islam. Saya takut perkara yang sama berulang, seperti budaya mengkafirkan orang lain.

Ini bukan berlaku di Malaysia sahaja. Ia telah berlaku kepada Ikhwanul Muslimin, kepada al-Nahda di Tunisia, dan Jamaati Islami di Pakistan dan Bangladesh. Amanah, hari ini mungkin tidak mempunyai masalah tetapi itu tidak bermakna ia akan bertahan sehingga 10 tahun akan datang; mungkin perkara yang sama akan berulang. Hari ini, mereka mengatakan DAP adalah kawan mereka tetapi kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa mereka mungkin seperti PAS, menggelar DAP ‘kafir’ suatu hari nanti.

KITA HENDAKLAH MENJAUHKAN DIRI DARI KERANGKA GERAKAN ISLAM dan pergi kepada konsep keadilan. Sebab itu saya menyertai PKR. Saya tidak mengatakan bahawa PKR semuanya baik; mereka tidaklah bagus mana tetapi berbanding parti lain, PKR lebih baik. Saya cuma bimbang Amanah akan mengulangi apa yang PAS lakukan; sebab itu saya tidak menyertai Amanah.

Saya percaya, bagaimanapun, peluang Amanah adalah baik. Mereka mungkin tidak menang dalam pilihan raya akan datang, tetapi mereka akan menang pada pilihan raya seterusnya. Ini kerana mereka yang memimpin PAS dahulu kini berada dalam Amanah. Orang dalam PAS sekarang tidak pernah menjadi orang yang membangun PAS. (Presiden PAS) Abdul Hadi Awang (foto) hanya menjadikan orang cenderung kepada Islam tetapi tidak kepada kemajuan PAS.

Mereka yang membangunkan PAS ialah pemikir seperti (pemimpin Amanah) Mohamad Sabu, Dzulkefly Ahmad, dan Khalid Samad. Hadi tidak mempunyai kelebihan dari segi politik. Orang kata dia dulu hebat, tapi adakah kita akan ‘wow’ bila dia bercakap? Saya tidak nafikan ilmu agamanya bagus, tetapi dia menang pilihan raya kerana gaya politik PAS adalah popular dari agama; itulah sebabnya orang seperti Hadi adalah presiden.

APA YANG SAYA LAKUKAN SECARA SEPENUH MASA ADALAH TERLIBAT DALAM PERBINCANGAN ILMIAH. Saya menubuhkan sebuah gerakan yang dinamakan pemikiran al-Syatibi, yang memfokuskan perbincangan mengenai perkara-perkara berat. Program itu dinamakan ‘Lepak Maqasid’; kami mengadakan program di kedai kopi dan kedai restoran mamak. Program yang dimulakan dua tahun lalu itu dibuat bersama-sama mereka yang gemar berbincang tentang perkara-perkara ilmiah yang berat. Kami sentiasa berbincang tentang falsafah dan kami menjemput sesiapa sahaja yang sudi menyertai kami.

Kami telah menjemput pensyarah universiti ke program ini dan kami juga menjemput mereka yang tidak dikenali sebagai ulama tetapi mereka banyak membaca dan mereka menulis perkara berat di Facebook - orang seperti Benz Ali, Megat Hanis. Program ini, tersedia untuk tontonan di YouTube, melihat mereka bercakap tentang agama dan juga politik. Kami pernah menjemput pemimpin Amanah Mujahid Yusof Rawa.

Saya tidak percaya dengan konsep agama menyelesaikan segala-galanya. Saya percaya agama mesti disepadukan dengan bidang ilmu yang lain. Kadang-kadang, saya lihat ada doktor yang lebih alim daripada guru agama. Jadi saya tidak fikir anak-anak saya harus menjadi guru agama. Mereka boleh menjadi doktor dan peguam. Selagi mereka beragama, mereka akan lebih hebat daripada guru agama.

Agama bukanlah sesuatu yang diperoleh daripada membaca al-Quran dan hadis. Saya rasa seseorang yang tidak membaca al-Quran dan hadis lebih mulia daripada orang yang membaca al-Quran tetapi tidak mempunyai prinsip.

SAYA TELAH MENULIS 13 BUKU. Kebanyakannya tidak begitu kontroversi. Kitab-kitab lain yang dianggap radikal ialah seperti Ulama yang Bukan Pewaris Nabi. Buku terbaru saya ialah Aku Bukan Kafir. Buku ini menceritakan tentang bagaimana pemikiran akan meningkatkan iman seseorang. Ada yang mengatakan bahawa pemikiran membuat seseorang meninggalkan agama tetapi saya fikir mereka yang tidak berfikir adalah mereka yang meninggalkan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan