FMT Reporters
Tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas remaja lelaki berusia 13 tahun dengan menyimbah air panas ke arahnya pada 27 Jun 2022. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, atas tuduhan menyimbah air panas terhadap anaknya tahun lalu.
Harian Metro melaporkan tertuduh berusia 37 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Difahamkan, kejadian itu disebabkan tertuduh berang dengan anak keduanya menghabiskan data internet telefon bimbitnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dengan menyimbah air panas ke arahnya di sebuah rumah di Sungai Udang kira-kira 2.56 pagi 27 Jun 2022.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim, memohon jaminan tidak diberikan atas faktor tertuduh tinggal bersama mangsa di rumah sama selain tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 26 Okt ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan