Tauke jeruk 'traffic light' kaut RM48k

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
SEBAHAGIAN penjual jeruk jalanan di sekitar Seremban. foto AZRUL EDHAM
SEBAHAGIAN penjual jeruk jalanan di sekitar Seremban. foto AZRUL EDHAM
Seremban: Guna khidmat ramai pekerja warga asing yang diupah menjual jeruk mangga dalam balang di persimpangan lampu isyarat sementara 'tauke' mampu menjana pendapat sehingga RM48,000 sebulan.

Itu antara taktik terkini penjual jeruk mangga yang dikesan semakin ramai membuka 'cawangan' di lampu isyarat utama seluruh negara.

Wartawan Harian Metro yang melakukan tinjauan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kegiatan itu sebalik merebak ke hampir seluruh Seremban termasuk daerah Nilai.

Meski perbuatan ini adalah satu kesalahan, pihak berkuasa di negeri ini belum mengambil tindakan undang-undang ke atas penjual mangga jalanan ini atas dasar perikemanusiaan dengan mengambil kira rakyat bergelut dalam ekonomi pasca Covid-19.

Bagaimanapun, hasil perbualan dengan penjual mangga di daerah ini, wartawan mendapati majikan mereka mampu menjana jualan sekurang-kurangnya RM48,000 sebulan tanpa perlu menyewa premis atau memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sudah semestinya, rasa simpati orang awam tertumpu kepada penjual yang dilihat berdiri dan berjalan dalam kesesakan lalu lintas sejak awal pagi hingga senja.

Atas faktor inilah, berlakunya permintaan yang membuatkan lebih banyak 'penawaran' wujud hingga merebak ke hampir semua persimpangan lampu isyarat utama.

Lebih mengejutkan, dalam satu operasi bersama dengan JPJ Negeri Sembilan baru-baru ini, terdapat peniaga yang mengambil pekerja warga asing tanpa permit selain pekerja tempatan luar dari negeri ini.

Salah seorang peniaga jeruk mangga berusia 19 tahun memaklumkan, majikan meletakkan sasaran mereka menjual 30 balang jeruk mangga dalam satu hari bermula dari jam 9 pagi hingga senja.

"Jeruk mangga dijual pada harga RM10 sebalang dan 'target' kami adalah 30 balang. Namun, kadang-kadang tidak capai 'target' dan purata jualan harian biasanya adalah sebanyak 20 balang.

"Kumpulan kami seramai lapan orang dan berpecah kepada dua kumpulan di Seremban. Majikan membayar kami komisyen sebanyak RM3 bagi setiap balang," katanya ketika ditemui.

Hasil tinjauan dan perbualan dengan penjual itu juga, wartawan mendapati majikan menyewa sebuah rumah untuk didiami pekerja yang rata-ratanya bukan penduduk Negeri Sembilan.

Mereka turut mendirikan khemah di lokasi mereka berniaga untuk menyimpan stok di dalam tong dan stok mangga pula akan dihantar menggunakan lori ke lokasi mereka berkumpul.

Abai faktor keselamatan pengguna lain

Meskipun sudah diberikan amaran keras sebelum ini, penjual jeruk mangga jalanan dan majikan mereka seolah tidak mengendahkan amaran diberikan pihak berkuasa.

Ada di antara mereka adalah penjual jalanan yang sama pernah diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini namun masih meneruskan aktiviti ditegah.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, perbuatan menjaja di jalanan ini boleh mendatangkan risiko bahaya dan kemalangan kepada penjaja itu sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Kesalahan ini merujuk kepada Kaedah 10A (1) Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959, iaitu tiada sesiapapun boleh menjual atau menawarkan untuk menjual benda atau barang kepada mana-mana orang yang berada di dalam atau di atas kenderaan di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya.

"Kaedah 10A (2) pula menyatakan tiada sesiapapun yang berada di dalam atau di atas kenderaan boleh membeli benda atau barang daripada mana-mana orang di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya," katanya ketika ditemui," katanya.

Beliau berkata, bagi kesalahan itu, penjaja dan pembeli boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Hanif Yusabra berkata, sehingga kini JPJ Negeri Sembilan menggunakan kaedah advokasi kepada penjual bertujuan memberi kefahaman dan peringatan kepada golongan itu termasuk pembeli.

"Ia berkaitan kesedaran risiko kemalangan terutama dalam kalangan penunggang motosikal dan berkemungkinan berlaku kecuaian antara pengguna jalan raya dengan penjaja. Kami juga menekankan urusniaga ini boleh mengganggu fokus pemandu," katanya.

Bimbang jadi budaya baharu

Aktiviti menjual mangga di persimpangan lampu isyarat dibimbangi menjadi budaya atau kebiasaan baharu kepada rakyat negara ini.

Melihat kepada sambutan penjualan jeruk mangga, seorang pengguna jalan raya, Faiz Shahmi Muhammad, 27, tidak menolak kemungkinan ada penjual produk lain turut akan menggunakan medium pemasaran sama.

"Jika kita lihat dari sudut kemanusiaan, memang akan timbul rasa kasihan kepada golongan penjual ini kerana berdiri dan berjalan berjam-jam lamanya di bahu jalan dalam keadaan cuaca panas dan hujan.

"Faktor simpati menyebabkan ada pengguna jalan raya yang akan membeli mangga dengan niat mahu membantu. Ada juga yang memang mahu makan, tetapi tiada kesempatan untuk pergi ke premis yang menjualnya," katanya ketika ditemui.

Faiz Shahmi berkata, kehadiran penjual jeruk mangga jalanan ini akan memberi imej [kurang cantik' kepada sesuatu kawasan dan negara.

"Bagi pelancong asing, mereka akan menganggap negara ini tidak jauh bezanya dengan negara jiran. Di negara jiran aktiviti menjual makanan, rokok atau barangan di lampu isyarat adalah perkara normal dan dianggap budaya.

"Mungkin ada penjual produk lain akan melihat perkara ini salah satu strategi pemasaran untuk melariskan produk mereka. Situasi ini akan menjadi ikutan dan merebak ke seluruh tempat," katanya.

Seorang lagi pekerja swasta, Adnan Salleh, 43, berkata, jalan raya adalah bukan tempat untuk menjalankan aktiviti perniagaan dan perkara itu tidak adil bagi peniaga yang memiliki premis.

"Bukan saya mahu menghina atau memandang rendah segelintir golongan, namun penjual mangga jalanan ini boleh diibaratkan sebagai penghuni rumah setinggan.

"Penghuninya tidak membayar sewa, tidak membawa cukai pintu dan tidak membayar apa-apa bil utiliti. Sama juga penjual mangga jalanan ini.

"Mereka mendapat untung tanpa membayar apa-apa sedangkan penjual lain perlu membayar sewa kedai, membayar lesen dan perlu memiliki SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia). Ini tidak adil," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan