Bernama
Pesakit HSA Daud Ismail, 71, selesai mengundi di pusat undi Sekolah Agama Bandar, Jalan Yahya Awal pada 10.31 pagi hasil bantuan petugas SPR. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU: Demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, seorang warga emas nekad “lari” seketika dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mengundi pada PRK Parlimen Pulai hari ini.
Daud Ismail, 71, berkata walaupun pada awalnya niat itu dihalang petugas hospital, beliau tetap bertegas untuk ke pusat undi Sekolah Agama Bandar, Jalan Yahya Awal, yang terletak tidak sampai 3km dari hospital dengan dibantu anak angkatnya.
“Pagi tadi saya sudah bersiap untuk pergi mengundi, tetapi dilarang petugas hospital dengan alasan kurang sihat. Saya bertegas juga untuk keluar mengundi,” katanya.
“Saya kata pada mereka, kalau tidak benarkan mengundi, hospital kena keluarkan surat kerana mengundi itu hak saya. Jadi, saya tekad keluar dan minta anak angkat mengambil saya untuk bawa ke pusat undi.
Daud yang mendapatkan rawatan di HSA sejak Isnin lepas kerana menghidap penyakit kencing manis, buah pinggang, jantung bengkak dan darah pekat, bersyukur kerana proses pengundian cepat dan tidak berdepan sebarang masalah.
Beliau masuk ke bilik mengundi pada 10.29 pagi dengan berkerusi roda, memakai baju pesakit serta “drip” di tangan, selesai melaksanakan tanggungjawab itu pada 10.31 pagi hasil bantuan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya sangat bersemangat untuk mengundi, tak kisah siapa yang saya undi, ini tanggungjawab saya kepada negara…rasa lega sangat bila dah selesai.
“Harapan saya sama seperti orang lain yang mahukan wakil rakyat yang betul-betul memperjuangkan hak rakyat.
“Saya tak nak memperjudikan nasib anak cucu saya. Nasihat saya pada orang muda, keluarlah mengundi, jangan ambil mudah,” katanya.
Sebanyak 165,509 pemilih berdaftar akan mengundi bagi PRK Parlimen Pulai yang diadakan serentak dengan PRK DUN Simpang Jeram yang melibatkan 40,301 pengundi bagi memilih wakil rakyat baharu hari ini.
Kedua-dua PRK dilakukan susulan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan