Amerika Berang: Arab Saudi-China Kerjasama Bina Loji Janakuasa Nuklear

BERITAINTERNATIONALMALAYSIA

(DEFENCE SECURITY ASIA)  — Arab Saudi dilapor akan mempertimbangkan tawaran oleh China untuk membina loji janakuasa nuklear di negara Timur Tengah itu, dalam satu lagi bukti menunjukkan hubungan diplomatik yang semakin akrab di antara Riyadh dan Beijing.

Dalam masa yang sama, ia juga membuktikan hubungan yang semakin renggang di antara Arab Saudi dengan sekutunya “lama”, Amerika Syarikat.

Agensi kerajaan, China National Nuclear Corp (CNNC) telah mengemukakan tawaran untuk membina sebuah loji janakuasa nuklear di wilayah timur Arab Saudi berhampiran dengan sempadan negara itu dengan Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menurut pegawai-pegawai Riyadh.

Kementerian Luar China tidak mengesahkan laporan oleh media, Wall Street Journal (WSJ) mengenai tawaran pembinaan loji janakuasa nuklear oleh agensinya tetapi jurucakapnya berkata,  Beijing akan terus menjalin kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak meliputi pelbagai bidang termasuk tenaga nuklear.

Ia bagaimanapun berkata akan tetap mematuhi peraturan antarabangsa yang mengawal industri tenaga nuklear itu.

Nuklear
Stesen janakuasa nuklear yang sedang dibina di Emiriah Arab Bersatu
Arab Saudi sebelum ini dilaporkan cuba bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam usahanya untuk melaksanakan program nuklear untuk awam dalam salah satu syarat memintanya supaya mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Israel membantah cadangan Arab Saudi untuk mewujudkan program nuklear untuk awam sebagai salah satu syarat untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu.

Pegawai-pegawai Amerika Syarikat dilapor pernah berkata bahawa ia akan hanya berkongsi teknologi tenaga nuklear jika perjanjian dimeterai bagi mengelak usaha pengkayaan (enrichment) Uranium atau memproses plutonium di reactor – dua usaha untuk membangunkan senjata nuklear.

Menurut media berpengaruh itu, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bersedia untuk bekerjasama dengan agensi China itu sekiranya rundingan dengan pihak Amerika Syarikat itu menemui jalan buntu.  

Arab Saudi bercadang membina 16 buah loji janakuasa nuklear di negara itu untuk tempoh 25 tahun pada kos US$80 bilion dalam usahanya untuk mengurangkan kebergantungannya kepada minyak dan gas, walaupun rizab minyak dan gas oleh negara Arab Saudi itu adalah kedua terbesar di dunia.
Dimona
Dimona menempatkan reaktor nuklear Israel.
Selain itu Riyadh juga mahu bersaing dengan Iran yang telah memiliki berbelas stesen janakuasa nuklear. 

Dalam satu lagi bukti menunjukkan pengaruh Amerika Syarikat di Timur Tengah semakin pudar, Arab Saudi dan Mesir dilaporkan sedang berbincang dengan Beijing untuk memperolehi  pelbagai sistem persenjataan termasuk pesawat pejuang J-10C buatan syarikat negara itu.

Agensi industri pertahanan Arab Saudi, Saudi Arabian Military Industries (SAMI) juga dilapor sedang berbincang dengan China North Industries Group Corporation (NORINCO) untuk membeli pelbagai jenis sistem persenjataan termasuklah  sistem pesawat tanpa pemandu dan sistem pertahanan udara.

Angkatan Tentera Arab Saudi bercadang memperolehi sistem pertahanan udara buatan China, HQ-17AE yang sebenarnya adalah berdasarkan kepada sistem pertahanan udara “TOR” yang dibangunkan oleh Russia.

Cumanya, sistem pertahanan udara HQ-17AE itu telah dinaiktaraf dan kemampuannya telah dipertingkat oleh China.
Nuklear
Loji janakuasa nuklear Iran di Bushehr
Selain itu Arab Saudi sedang berunding dengan China untuk membeli sistem dron VTOL (Vertical Take-Off Landing) CR500, dron Cruise Dragon 5, sistem loitering munition dan sistem dron Sky Saker FX80.

Baru-baru ini, penganalisis pertahanan di Timur Tengah mendakwa Arab Saudi sedang berunding dengan China untuk memperolehi sehingga 12 buah kapal perang destroyer Type 052DE (varian eksport bagi kapal perang Type 052D).

Kapal destroyer Type 052D kelas-Luyang itu merupakan di antara kapal perang paling berkemampuan di dalam armada Tentera Laut China dan seringkali disamakan dengan kapal destroyer kelas-Arleigh Burke milik Tentera Laut Amerika Syarikat. — DSA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan