Bakar isteri hingga mati, pesakit dialisis dipenjara 35 tahun

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Seorang lelaki yang mengalami kegagalan buah pinggang dijatuhi hukuman penjara 35 tahun kerana membunuh isterinya dengan menyimbah petrol dan membakarnya.

Hakim Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menyifatkan perbuatan V Mathiyalagan terhadap pasangannya sebagai jenayah sangat kejam.

“Awak ambil nyawa isteri awak. Tetapi, kami turut mempertimbangkan awak kini menjalani dialisis,” kata Hadhariah yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan Azizul Azmi Adnan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bekas pemungut besi buruk berusia 53 tahun itu bermula dari tarikh tangkapan, tetapi dia tidak dikenakan 12 sebatan yang ditetapkan undang-undang susulan pemansuhan hukuman mati mandatori berkuat kuasa 4 Julai lalu.

Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah mengecualikan lelaki 50 tahun ke atas daripada disebat.

Pada 2019, Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman mati kepada Mathiyalagan selepas mendapati dia bersalah membunuh R Ratna di rumah mereka di Sungai Petani, Kedah, pada 26 Mei 2017.

Mathiyalagan memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu di Mahkamah Rayuan, tetapi menarik balik rayuannya terhadap sabitan.

Terdahulu, peguam T Jayaraj meminta mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk menjatuhkan hukuman penjara menggantikan hukuman mati.

Timbalan Pendakwa Raya Noorhisham Jaafar tidak membantah, tetapi mencadangkan hukuman penjara maksimum 40 tahun.

Fakta kes mendedahkan Ratna berlari keluar dari rumah untuk mendapatkan bantuan selepas dibakar, tetapi meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, pada 6 Jun 2017.

Bukti dikemukakan semasa perbicaraan menunjukkan Mathiyalagan membawa polis kepada penemuan pemetik api dan botol air plastik untuk mengisi petrol.

Dalam kes berasingan, mahkamah sama menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan terhadap kontraktor Hafiz Mohamad atas kesalahan membunuh bakal abang iparnya, Shukri Husin, di luar Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu tujuh tahun lalu.

“Sebatan perlu dilaksanakan secepat mungkin,” kata Hadhariah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abdul Karim meminta mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum 40 tahun kerana satu nyawa diambil tanpa belas kasihan.

Katanya, Hafiz berulang kali menyerang Shukri dengan pisau yang meninggalkan luka tikaman sedalam 9cm di dadanya.

Mazlan mencadangkan hukuman penjara 30 tahun dari tarikh tangkapan untuk membolehkan Hafiz memulakan lembaran baharu selepas dibebaskan dari penjara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan