N Faizal Ghazali
Bekas suami Loh Siew Hong hari ini menyatakan rasa terkejut apabila melihat seorang peguam yang terbabit mengambil anaknya untuk tinggal bersama keluarga bukan Islam menjadi tetamu PAS ketika parti itu mengadakan muktamar hujung minggu lalu.
Muhammad Nagahswaran Muniandy berkata, selain berasa kecewa dia juga tertanya-tanya apa motif PAS di sebalik jemputan terbabit.
"Ya itu saya nak tanya, kalau PAS jemput dia sebab apa? Pernahkah dia dijemput (dalam program PAS) sebelum ini?" katanya kepada Malaysiakini.
Loh merupakan ibu tunggal yang mengemukakan cabaran undang-undang untuk membatalkan "penahanan haram" tiga anaknya yang telah memeluk Islam secara sepihak.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Feb 2022 membenarkan permohonan habeas corpus Loh ke atas Jabatan Kebajikan Masyarakat dan seorang ustazah yang menjaga kanak-kanak terbabit.
Hakim juga mengarahkan kanak-kanak terbabit dibebaskan serta-merta untuk dijaga Loh.
Dalam proses mahkamah tersebut Loh diwakili peguam Shamsher Singh Thind.
Boleh undang fitnah
Pada 19 Okt lalu Shamser memuat naik gambar dia menghadiri Muktamar Dewan Pemuda PAS yang dilangsungkan di Shah Alam, Selangor. Dia mendakwa hadir sebagai tetamu jemputan.
"Dijemput sebagai tetamu untuk menghadiri majlis pelancaran Muktamar Dewan Pemuda PAS. Satu penghormatan apabila YB Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memanggil nama saya.
"Juga bertemu rakan lama saya Yang Berhormat Afnan Hamimi dan Subash Chandrabose Arumugam Pillai," katanya.
Mengiringi hantaran tersebut ialah gambar Shamser bersama Tuan Ibrahim dan Afnan.
Tuan Ibrahim merupakan timbalan presiden PAS manakala Afnan Hamimi Taib Azamudden ialah ketua baru Pemuda PAS.
Sementara itu seorang aktivis dakwah yang turut terbabit dengan kes itu, Nazirah Nanthakumari Abdullah, turut menyatakan rasa terkejut dan tertanya-tanya dengan langkah PAS.
Dihubungi Malaysiakini, Nazirah berkata, dia ditanya beberapa orang mengenai pembabitan Shamser di Muktamar Pemuda PAS.
"Mereka kata, sepatutnya orang yang berjuang untuk Islam atau NGO berkaitan dakwah Islam yang dijemput sebagai tetamu PAS.
"Sebab itu saya rasa terkejut, dan kita tak tahu apa motif mereka.
"Secara peribadi saya rasa jemputan itu boleh mengundang fitnah," katanya yang enggan memberikan komen lanjut.
Malaysiakini sudah menghubungi beberapa pemimpin PAS untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu berkenaan dan sedang menunggu respon mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan