Jadi ‘bahan ketawa’, bos Mydin kritik kerajaan tangani bekalan beras
Ameer Ali Mydin berkata kekurangan gula dijangka akan berlaku ketika diwawancara dalam rancangan ‘Stakeholders, with Shireen’.
Nicholas Chung dan Samuel Chua
PETALING JAYA: Ketua rangkaian pasar raya besar yang lantang mengkritik kerajaan kerana gagal menangani sewajarnya isu melibatkan bekalan beras, telur, dan ayam bagi penggunaan tempatan.
Muncul pada rancangan bual bicara FMT, “Stakeholders, with Shireen”, Ameer Ali Mydin berkata kerajaan mesti “memperuntukan sumber yang betul” untuk menguruskan kebimbangan keselamatan makanan negara.
Ditanya hos, Shireen Muhiudeen sama ada tanah pertanian lama perlu ditebus guna bagi pengeluaran beras, pengarah urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd itu berkata, kerajaan perlu menyediakan “tanah secukupnya”.
Mengkritik pembukaan tanah seluas 50,000ha di Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2024, Ameer menyifatkan perkara itu semacam “bahan ketawa”.
“50,000ha? Thailand ada 10 juta ha, mengeluarkan beras, Indonesia ada 15 (juta), Vietnam ada lapan (juta). Kita hanya ada satu (juta).
“Jadi, mana keseriusan demi memastikan ada cukup beras untuk kita sendiri?”
Katanya, tambahan 500,000ha tanah mesti diperuntukan dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi menjamin bekalan mencukupi makanan ruji berkenaan.
Ameer juga menggesa kerajaan mengeluarkan beras premium bagi eksport, dan mengimport beras kualiti rendah bagi kegunaan tempatan.
“Itulah sepatutnya kita (kerajaan) uruskan negara. Saya tidak fikir kita ke arah itu,” katanya.
Mengulas persoalan berkaitan monopoli Bernas dalam pengimportan beras, Ameer berkata ia menjadikan punca bekalan beras tidak mampu dibeli pengguna.
“Jika anda benarkan saya import hari ini, kosnya RM32 bagi peket 10kg, namun saya kena buat menerusi Bernas. Kos saya menjadi RM38. Mereka mengambil RM6 bagi 10 kilo.
“Siapa bayar ini? Penggunalah,” katanya.
Sambil menyatakan alasan “sejarah” bagi kewujudannya sebagai tidak lagi terpakai, Ameer menyeru kerajaan menghapuskan monopoli dan membiarkan harga beras ditentukan kuasa pasaran.
‘Tiada kurang bekalan ayam, telur’
Ameer berkata tiada masalah “sebenar” berhubung bekalan ayam dan telur dalam pasaran.
“Kita sentiasa mengeksport ayam,” katanya sambil menambah isu didepani negara baru-baru ini adalah kesan daripada operasi “kartel”.
Bagaimanapun, beliau berkata, masalah itu telah diatasi kerajaan apabila membenarkan import ayam.
Mengulas berkait bekalan telur, Ameer berkata masalah sebenar menjejaskan bekalan disebabkan penekanan kerajaan untuk mengawal harganya.
“Kita sebenarnya mengeksport telur ke Singapura,” katanya sambil menyatakan kerajaan “seperti tidak memahami” punca di sebalik kekurangan telur dalam pasaran.
Ameer berkata, kawalan harga dikenakan kerajaan dan kegagalan membayar subsidi segera kepada pengeluar menjurus kekurangan telur biasa.
“Pengeluar bertindak mengeluarkan telur premium. Jika anda tidak segera membayar mengapa saya (pengeluar) keluarkannya (telur biasa)?” katanya.
Bekalan gula seterusnya?
Beliau juga memberi amaran kekurangan gula di Malaysia jika harga siling kekal ditetapkan RM2.85 sekilogram, dengan menyatakan pengeluaran tidak lagi mampan susulan peningkatan kos.
“Kami telah beritahu kerajaan akan ada kekurangan (gula). Kami boleh menjangkakannya kerana kami di lapangan. Kerajaan berada di awang-awangan. Mereka tidak sedar apa yang berlaku,” katanya.
Sebelum ini, pengeluar gula tempatan, MSM Malaysia Holdings Bhd berkata, industri gula tidak menerima subsidi sejak 2013.
Ameer turut menggesa Putrajaya menarik balik subsidi minyak masak peket, sambil mendakwa kerajaan mampu menjimatkan RM8 bilion setahun, yang mana lebih baik dibelanjakan untuk pemberian tunai kepada golongan memerlukan.
Beliau mendakwa berbilion tiris dalam subsidi barangan yang akhirnya ia diseludup keluar di sempadan untuk dijual pada harga berganda.
“Saya rasa kerajaan tahu dan sedang merancang sesuatu. Saya harap mereka lakukannya segera sebelum lebih banyak wang hangus,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan