Direnjat, dipukul jika gagal tipu orang

Nor Azizah Mokhtar
am@hmetro.com.my
HISHAMUDDIN (kanan sekali) dan Musa (tiga dari kanan) bersama Chiko  (tengah) serta Azirul (tiga dari kiri). FOTO Nor Azizah Mokhtar
HISHAMUDDIN (kanan sekali) dan Musa (tiga dari kanan) bersama Chiko (tengah) serta Azirul (tiga dari kiri). FOTO Nor Azizah Mokhtar
Sepang: Terpengaruh ajakan rakan untuk bekerja di luar negara dengan gaji lumayan menjadi detik permulaan mimpi ngeri seorang wanita apabila dikurung sindiket Love Scam di Myanmar sejak lebih setahun lalu.

Walaupun mempunyai pekerjaan tetap di tempat asalnya di Kota Belud, Sabah, sebagai jurulatih selam, mangsa yang mahu dikenali sebagai Chiko, 40, mengaku tawaran gaji Baht 40,000 (RM5,200) sebulan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Bangkok, Thailand begitu menarik perhatian.

"Seorang rakan saya yang beritahu tentang tawaran pekerjaan yang diiklankan di Facebook itu, dan kemudian saya sendiri menghubungi ejen pekerjaan terbabit.

"Selepas bersetuju menerima kerja itu, saya diberikan tiket ke Bangkok dari Kota Kinabalu pada Ogos 2022. Selepas dua hari di Bangkok, ejen arahkan pula saya naik kapal terbang ke Mae Sot (Thailand).

"Bila tiba di Mae Sot, ada orang yang datang ambil sebelum saya dijual kepada satu sindiket di Myanmar," katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, dari Bangkok selepas diselamatkan oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), hari ini.

Kepulangannya ditemani wakil MHO, Azirul Syafiq Sazali yang mengendalikan usaha menyelamatkan mangsa yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dengan bantuan rakan strategik di Myanmar dan pihak berkuasa Thailand.

Turut hadir menunggu kepulangan mereka termasuk Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, dan Penasihat MHO merangkap Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.

Chiko berkata, sindiket merampas telefon bimbit dan pasport miliknya dan sejak itu, dia dipaksa bekerja sebagai scammer dalam keadaan terkurung dalam sebuah bangunan di Myawaddy.

"Sekiranya tidak capai target (sasaran), kami akan didenda seperti dikenakan renjatan elektrik, dipukul dan dikurung dalam bilik hitam (bilik gelap).

"Di situ, ada kira-kira 20 rakyat Malaysia yang turut dikurung dan dipaksa bekerja setiap hari tanpa gaji dan kami hanya dibenarkan menggunakan telefon bimbit dua kali sebulan selama 10 minit," katanya.

Kata beliau, beliau amat kasihankan mangsa lain yang beragama Islam kerana mereka terpaksa makan daging babi setiap hari.

"Saya bersyukur kerana dapat diselamatkan dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan jadikan kisah saya ini sebagai iktibar.

"Saya harap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja diiklankan di media sosial dengan tawaran gaji lumayan kerana ia adalah satu perangkap," katanya.

Menurut Hishamuddin, keluarga mangsa di Sabah sudah dua kali membuat laporan polis dan turut membayar wang tebusan RM20,000 kepada pihak sindiket namun mangsa masih tidak dibebaskan.

"Keluarga kemudian tampil meminta bantuan MHO dan kami kemudian menggerakkan wakil kita untuk menyelamatkan mangsa di Myanmar dan akhirnya misi menyelamat berjaya.

"Misi ini turut berjaya kerana keberanian mangsa sendiri yang berjaya meloloskan diri dari bangunan terbabit yang tidak dikawal ketat ketika berlaku pertukaran syif," katanya.

Katanya, rakan strategik MHO terdiri beberapa warga Myanmar sudah sedia menunggu di luar bangunan kemudian membawa mangsa lari ke kawasan sempadan merentas ke Mae Sot melalui jalan sungai.

Misi mereka turut mendapat kerjasama pasukan tentera Thailand yang mengawal sempadan Mae Sot dan Myawaddy.

Sementara itu, Azirul Syafiq Sazali berkata, misi menyelamat Chiko mengambil masa hanya tiga hari namun sebaik sampai di Bangkok, mangsa perlu menjalani beberapa proses imigresen dengan pihak berkuasa Thailand.

Selepas 10 hari, urusan yang turut mendapat bantuan rapat pihak Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, mangsa akhirnya berjaya dibawa pulang hari ini. Dia dijangka bertolak pulang ke Sabah pada petang ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan