Israel bedil sekitar Hospital al-Quds

Malaysiakini

Zionis melancarkan serangan peluru berpandu menggunakan pesawat di sekitar Hospital al-Quds di kejiranan Tel al-Hawa, awal pagi ini bagi memaksa penduduk yang mencari perlindungan di situ bergerak ke arah selatan.

Media tempatan melaporkan, ketika ini, kira-kira 12,000 orang mencari perlindungan di hospital, selain kira-kira 400 pesakit dan ratusan yang cedera.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) berkata, Israel, semalam mengancam untuk mengebom hospital Al-Quds.

Portal berita Wafa melaporkan, PRCS bagaimanapun menegaskan mereka tidak akan sesekali berpindah, malah turut mengesa masyarakat antarabangsa untuk segera campur tangan bagi mencegah pembunuhan beramai-ramai. 

Sementara itu, media turut melaporkan tentera Israel mula melakukan serangan darat menggunakan kereta kebal dan memasuki Semenanjung Gaza.

Gambar yang dirakam Reuters dari Israel menunjukkan berlaku letupan selepas serangan darat itu.

Selepas lebih tiga minggu melakukan pengeboman hebat di Gaza, yang meragut lebih 8,000 nyawa, tentera Israel memulakan peringkat kedua peperangan dengan pencerobohan darat.

Hamas melakukan serangan mengejut pada 7 Oktober mengakibatkan 1,400 kematian di Israel dan bedilan Yahudi itu pula sudah membunuh lebih 8,000 penduduk Gaza, termasuk kanak-kanak dan wanita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan