Israel janjikan 'serangan tanpa henti' ke atas Gaza

Malaysiakini

Tentera Israel sedang bersiap sedia melancarkan “serangan tanpa henti” ke atas Gaza dalam usaha untuk memusnahkan Palestin.

Reuters memetik Ketua Staf Israel Leftenan Jeneral Herzi Halevi sebagai berkata pihaknya tidak berniat untuk menghentikan serangan ke atas Semenanjung Gaza yang berpenduduk padat, sebaliknya membayangkan bersedia melancarkan serangan darat.

"Kami mahu memusnahkan Hamas sama sekali. Justeru, kami akan menggerakkan serangan tanpa henti, memusnahkan semua pejuang Hamas dalam apa cara sekali pun.

"Kami juga sudah bersedia menjalankan operasi darat di selatan," katanya yang merujuk selatan Israel bersempadan dengan Gaza.

“Tentera yang mempunyai lebih banyak masa lebih bersedia, dan itulah yang kami lakukan sekarang,” kata Halevi sambil menambah bahawa mereka sedang melakukan pertimbangan taktikal dan operasi strategik.

Pada masa sama, bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, memberi amaran 'sebarang strategi ketenteraan Israel yang mengabaikan nyawa manusia akan memakan diri'.

Obama, yang jarang memberi komen mengenai krisis dasar luar, mengeluarkan kenyataan bertulis memberi amaran supaya Israel tidak menyebabkan lebih ramai orang awam terkorban dalam tindakan balas terhadap Hamas.

"Sudah beribu-ribu rakyat Palestin terbunuh akibat pengeboman di Gaza, terutama kanak-kanak. Ratusan ribu penduduk lain dipaksa meninggalkan kediaman mereka," kata Obama dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial.

Sejak semalam, tentera Israel terus menggempur ruang udara Gaza dengan membedil 320 sasaran termasuk terowong menempatkan pejuang Hamas dan menyerbu kem pelarian Palestin.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, sejak dua minggu serangan udara Israel, angka kematian di Gaza melebihi 5,087 mangsa termasuk 2,055 kanak-kanak.

Hampir sejuta penduduk Palestin juga dilaporkan kini terperangkap di Semenanjung Gaza dalam keadaan mengerikan, hanya menunggu masa menjadi mangsa bedilan tanpa henti Israel.

Adalah tidak jelas jika Obama berkongsi kenyataannya dengan Biden, yang juga naib presidennya ketika dia menjadi presiden AS.

Setakat ini, White House tidak mengeluarkan sebarang maklum balas berhubung kenyataan dikeluarkan Obama.

"Keputusan Israel memotong bekalan makanan, air dan elektrik kepada penduduk awam yang ditawan hanya memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang semakin meningkat.

"Ia boleh meningkatkan permusuhan Palestin terhadap Israel selama beberapa generasi dan menghakis sokongan global terhadap Israel.

"Ini sudah tentu akan dimanfaatkan musuh Israel, sekali gus menjejaskan usaha jangka panjang bagi mencapai keamanan dan kestabilan di rantau itu," tulisnya dalam kenyataannya.

Namun, Obama turut mengutuk serangan Hamas dan mengulangi sokongannya terhadap hak Israel untuk mempertahankan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan