Malaysia antara peminum kopi terbanyak di Asia Pasifik

Astro Awani

KUALA LUMPUR: Kemunculan gerai atau kedai kopi di seluruh Malaysia dilihat seperti perumpamaan ‘cendawan tumbuh selepas hujan’, dilihat satu trend yang menjadi pilihan segenap lapisan usia.

Mana tidaknya, data yang dikeluarkan International Coffee Organization telah mendedahkan rakyat Malaysia secara purata meminum 107 cawan kopi pada tahun 2021 berbanding hanya 52 cawan pada empat tahun sebelumnya.

Namun tahukah anda, Malaysia juga mempunyai sejarah yang unik dalam pengolahan dan penyajian kopi.

Kopi pertama kali diperkenalkan di Malaysia oleh pedagang Arab dan India pada awal abad ke-19 yang pada ketika itu menghubungkan laluan pedagang utama dunia.

Malaysia juga 'bertuah' apabila dikurniakan tanah yang subur bagi penanaman kopi.

Tanah yang subur dan beriklim sejuk seperti Cameron Highlands dan Bukit Fraser lebih sesuai untuk penghasilan kopi yang lebih bermutu.

Namun setakat tahun 2021, situasi telah berubah apabila Johor menjadi peneraju penghasilan kopi tempatan dengan hampir 3,000 tan penghasilan, berbanding Sabah dengan hanya 884 tan.

Kopi juga telah menjadi budaya dalam masyarakat majmuk di Malaysia berdekad lamanya, lebih-lebih lagi dengan pengenalan kedai kopitiam yang banyak diusahakan oleh peniaga berbangsa Cina, namun tetap dinikmati bersama segenap lapisan masyarakat.

Begitupun, trend tersebut juga telah berasimilasi mengikut peredaran zaman. Golongan muda kini lebih memilih untuk 'healing' dan bersantai bersama rakan di kafe yang menyajikan menu kopi sebagai tarikan utama.

Sempena Hari Kopi Antarabangsa pada 1 Oktober, ini trivia menarik yang perlu anda tahu:

Nama "kopi" berasal daripada perkataan Arab "qahwa," yang merujuk kepada minuman berkafein. Kopi pertama kali ditemui di wilayah Ethiopia dan kemudiannya diketahui oleh dunia Arab sekitar abad ke-15.

Pokok kopi berasal dari genus Coffea dan terdapat lebih daripada 100 spesies kopi yang berbeza. Namun, hanya beberapa spesies yang digunakan secara meluas dalam industri kopi.

Kopi termahal dunia ialah Kopi Luwak yang dihasilkan secara eksklusif selepas biji kopi dihadam musang sawit di Indonesia.

Terdapat banyak jenis kopi yang mempunyai cita rasa yang berbeza mengikut penggemarnya seperti Arabica, Robusta, dan Liberica.

Selain Malaysia, kopi juga mempunyai peranan penting dalam budaya sesetengah negara. Seperti majlis minum kopi seperti "kopi tumpah" di Ethiopia dan "upacara perkahwinan" di Jepun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan