MP PAS: Saya akan terus doakan supaya kerajaan jatuh

Shakira Buang

PARLIMEN | Seorang anggota parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini mengakui dia secara peribadi mendoakan kejatuhan pentadbiran 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Malah, Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) secara terbuka berkata dia akan melakukan perkara yang sama terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, hari ini.

“Ya, betul dan kali ini pun saya nak doakan yang sama,” kata bekas ketua Dewan Ulama PAS itu ketika bangkit mencelah kenyataan RSN Rayer (PH-Jelutong).

Nik Muhammad Zawawi berkata demikian selepas Rayer menuding jari kepadanya.

Terdahulu, Nik Muhammad Zawawi membangkitkan soal peruntukan kepada anggota parlimen yang didakwa tidak adil.

Sejurus itu, Nik Muhammad Zawawi berkata kerajaan akan terumbang-ambing kerana tidak mendapat “nusrah” (pertolongan) daripada Allah.

Disebabkan itu juga, Nik Muhammad Zawawi berkata kerajaan pimpinan Anwar ini akan “menemui ajal”.

“Allah SWT tidak melembutkan hati manusia untuk bersama-sama dengan kerajaan dan kerana apa? Kerana kerajaan bersikap di luar daripada batas-batas kemanusian.

“Ahli-ahli parlimen tidak diagihkan peruntukan, harta siapa? Harta ini kalau milik Tambun saya tak akan kata apa tapi ini adalah harta rakyat dan negara, yang mesti diagihkan,” katanya.

Nik Muhammad Zawawi justeru memberi amaran, jangan sampai rakyat membanjiri Kuala Lumpur seperti perhimpunan membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada 2018.

“Insya-Allah, saya kira (kerajaan ini) tidak lama usianya dan insya-Allah-Allah kerajaan ini akan bertemu ajalnya,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 dalam sidang Dewan Rakyat.

Rayer kemudian meminta Nik Muhammad Zawawi menarik balik kenyataannya itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(6) kerana mengeluarkan sangkaan jahat.

Dia mengingatkan supaya menjaga tutur katanya kerana terdapat pelawat daripada kalangan pelajar sekolah dalam sidang hari ini.

“Sangkaan-sangkaan jahat dan saya percaya Speaker pun tengah tekun mendengar bahawa kenyataan tersebut adalah membuat sangkaan jahat terhadap kerajaan dan saya minta yang berhormat tidak mengulangi kenyataan sedemikian,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan