Sultan Johor dipilih sebagai Agong

Malaysiakini

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, berkuat kuasa 31 Januari tahun depan.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pula dipilih sebagai timbalan baginda, menurut agensi berita nasional Bernama.

Perkembangan itu diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad.

Terdahulu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-263 (Khas) bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Mesyuarat yang bermula 10.10 pagi itu dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan semua Raja-Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.

Pemilihan itu diadakan susulan tempoh lima tahun penggal pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, bakal tamat pada 30 Januari tahun depan.

Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 setelah dipilih pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari tahun sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan