Tular wanita anggap PMX murtad walau Anwar pimpin individu bersyahadah

HarapanDaily.com
Tular wanita anggap PMX murtad walau Anwar pimpin individu bersyahadah
Tular tangkap layar dakwaan seorang wanita yang menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah keluar dari agama Islam atau murtad.

Menerusi komentarnya, ejen sebuah syarikat insurans itu selamba mempersoal wajah Menteri Kewangan berkenaan sebagai “tiada air muka cahaya ketenangan”.

Pengguna Facebook atas akaun Fatin Fatimah Humaira Al-attas tersebut juga mengakui otaknya berserabut melihat wajah suami Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.

“Kenapa tengok PMX ni langsung tiada air muka cahaya ketenangan. Lagi tengok lagi serabut otak ni,” tulisnya dalam satu komentar di TikTok.

Walaupun wanita itu dinasihatkan untuk melakukan sembahyang taubat oleh netizen, dia dilihat masih bersikap ekstrem terus menabur fitnah terhadap Perdana Menteri.

“Takkan ada ketenangan kalau tengok muka orang murtad.

“Akan tenang tengok muka alim ulama dan baca al-Quran,” tulisnya lagi yang terbabas dari landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Rata-rata warganet terkejut dengan sikap melampau penyokong pembangkang itu yang menyamai perangai puak Khawarij, iaitu kelompok pada abad pertama hijrah yang mengkafirkan golongan yang tidak sealiran dengannya.

“Kutip (ditangkap polis), jangan tak kutip, Mulut tak reti nak jaga. Seorang yang telah diberi mandat mengislamkan orang, dituduh murtad. Ia adalah satu fitnah yang amat besar,” desak netizen.

Bulan lalu, Perdana Menteri berkesempatan memimpin syahadah seorang lelaki memeluk Islam selepas menunaikan solat dan menyampaikan khutbah Jumaat di masjid Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY).

Ketika Anwar beredar sambil bersalaman dengan jemaah selepas menyampaikan sumbangan al-Quran daripada kerajaan kepada masjid, pengacara majlis memaklumkan seorang lelaki dikenali sebagai Andrew Vinals mahu memeluk Islam dan memintanya tampil.

Seorang pegawai masjid kemudiannya dilihat menjemput Anwar sambil pengacara majlis mengumumkan Perdana Menteri akan menyempurnakan pengislaman lelaki berkenaan.

Majlis itu adalah secara kebetulan dan tiada dalam atur cara rasmi, menurut pegawai media daripada Pejabat Perdana Menteri.

Sementara itu, pada Ogos lepas, Anwar turut mengajar ucapan kalimah syahadah kepada seorang lelaki berusia 27 tahun di Masjid Ar-Rahimiah, Klang selepas menunaikan solat Jumaat.

Pemuda warganegara Malaysia berkenaan dikenali sebagai Muhamad Anwar Karthiban selepas memeluk Islam.

Fenomena Khawarij dan takfiri dalam era kerajaan Madani mutakhir ini dilihat semakin berleluasa dilakukan sebahagian masyarakat terutamanya penyokong tegar pembangkang.

Pentaasub terbabit tidak terkecuali warga emas bahkan meninggalkan komentar berbaur fitnah dan mengaibkan di media sosial selain selamba ‘bermain’ isu 3R (agama, kaum dan raja).

Sentimen politik kebencian yang ditanam pemimpin blok pembangkang juga dilihat mempengaruhi penyokong mereka yang kurang cerdik untuk bersikap ekstrem termasuk tergamak mencadangkan santau ke atas Perdana Menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan