Ulama PAS seolah-olah beri Sanusi cop halal mencarut

Hariz Mohd

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar malam tadi mengecam pemimpin PAS kerana tidak menegur Menteri Besar Kedah Sanusi Mohd Nor kerana “mencarut”.

Mahfuz berkata tindakan itu sama dengan ulama dalam parti itu memberi Sanusi "cop halal" untuk bercakap buruk tentang orang lain.

“Yang saya herannya, pemimpin, ulama besar dia (PAS) tak kata apa seolah-olah ulama (PAS) ni bagi cop halal (pada Sanusi).

"Mencarut boleh, hina orang boleh, maki orang boleh, cerca orang boleh. Seolah-olah dia (Sanusi) ambil cop halal daripada ulama yang ada dalam PAS," kata Mahfuz semasa ceramah di Felda Kemasul, Bentong.

Mahfuz hadir untuk berkempen bagi calon BN Amizar Abu Adam, yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Pelangai menentang Kasim Samat dari PAS dan calon bebas Haslihelmy DM Zuhasli.

Difahamkan, bekas ahli parlimen Pokok Sena itu merujuk kepada siri ucapan Sanusi di Pelangai minggu lalu, ketika pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu mempersendakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sanusi juga merujuk kepada Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee sebagai lelaki "**** tak kerat" (tidak berkhatan) apabila mengkritik wakil rakyat DAP itu berhubung insiden Lee didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.

Felda Kemasul merupakan antara tempat Sanusi menyampaikan ucapan kempennya minggu lalu.

Tambahnya Mahfuz, adalah tidak wajar bagi Sanusi, yang mewakili sebuah parti Islam, menggunakan kata-kata buruk dan bercakap buruk tentang orang lain dalam ucapannya.

“Bagi saya, satu saja. Orang islam khususnya pemimpin-pemimpin PAS yang bercakap soal Islam dengan bibirnya basah dengan (baca) al-Quran, lancar daripada kita, patutnya hormati (orang lain).

"Datang sini didik masyarakat dengan adab dan akhlak yang baik. Tambahan kita sedang dalam suasana menyambut hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

"Sepatutnya mereka datang sini didik dengan akhlak Nabi SAW," kata Mahfuz.

Menjenamakan PAS sebagai "parti mencarut", Mahfuz berkata pengundi Pelangai harus mengelak daripada menyokong calonnya.

"Kita boleh berbeza fahaman politik. Tetapi jangan sesekali menghina dan mencerca orang lain," katanya.

Semasa ucapan Sanusi dalam ceramah PN minggu lepas, menteri besar itu telah mempersendakan Anwar berhubung ucapan perdana menteri di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta menyampaikan khutbah solat Jumaat di New York.

Dia mendakwa tempat Anwar berucap di PBB kosong kerana masyarakat antarabangsa tahu Anwar seorang pembohong, manakala khutbah solat Jumaat perdana menteri adalah untuk menipu rakyat di New York.

Seorang lagi penceramah pada ceramah malam tadi, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir turut mengkritik Sanusi.

“Takkan la Sampai baca khutbah pun kita kata membohong. Saya dengar video tu, takkan la kita hina orang sampai macam tu.

"Orang tengah berkhutbah. Khatib sedang menyampaikan khutbah, bolehkah kita kata dia membohong?" katanya.

Dia berkata ucapan penghinaan seperti itu adalah tanda jiwa kotor yang disifatkan dalam Islam sebagai 'ghibah' dan 'namimah'.

"Dua penyakit besar yg ada dalam hati manusia ini. Dia sentiasa dalam jiwa dan jiwa tu akan keluarkan kata-kata yang sentiasa menghina, kata-kata yang kotor, daripada jiwa yang kotor," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan