Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
KERETA mangsa putus dua selepas berlanggar dengan pacuan empat roda. FOTO Ihsan Polis.
Baling: Wanita maut apabila kereta dipandunya terputus dua selepas berlanggar dengan pacuan empat roda di Jalan Kampung Bukit Pak Kuning, Kuala Ketil, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Farah Nabihan Mohamad, 37, meninggal dunia di lokasi kerana parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara Aeroback dipandu mangsa hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
"Kerana jarak terlalu dekat, pemandu pacuan empat roda berusia 57 tahun yang dari arah Kuala Ketil menghala Parit Panjang gagal mengelak dan melanggar hadapan kiri kereta mangsa.
"Pelanggaran menyebabkan kereta mangsa terputus dua dan mangsa tercampak ke kiri jalan," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya pemandu pacuan empat roda dan penumpangnya yang berusia 54 tahun hanya cedera ringan.
"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan