Anggota polis disyaki culik wartawan Bangladesh ditahan kerja

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

KUALA LUMPUR: Seorang daripada tiga anggota polis dari unit cawangan khas yang disyaki menculik seorang wartawan warga Bangladesh sudah ditahan kerja.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata tindakan tahan kerja terhadap dua lagi anggota akan dipertimbangkan jika ada keperluan bergantung kepada hasil siasatan.

"Ada yang kita sudah ambil tindakan tahan kerja dan kita tunggu tindakan susulan kerana kes itu di bawah siasatan Polis Selangor dan bagi Polis Kuala Lumpur sudah ambil tindakan tahan kerja.

"Siasatan sudah selesai tapi kita tunggu keputusan lanjut," katanya ditemui selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, kertas siasatan membabitkan tiga anggota polis didakwa menculik seorang wartawan warga Bangladesh diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya itu dibebaskan dengan jaminan selepas reman tamat.

Sebelum itu dilaporkan seorang wartawan media antarabangsa warga Bangladesh mendakwa mengharungi detik hitam selepas diculik dan diseksa selama tiga hari oleh beberapa lelaki tempatan di sebuah rumah sekitar Klang, Selangor.

Lelaki berusia 30-an yang enggan dikenali itu berkata, sepanjang tempoh itu dia dipukul, dirotan, diterajang di perut dan dikelar di tangan oleh beberapa lelaki tempatan yang meminta wang berjumlah RM1.9 juta daripadanya jika mahu dilepaskan.

Pada 7 November lalu, tiga lelaki tempatan yang mengaku anggota polis datang ke rumahnya di Putrajaya kononnya bagi membantu siasatan berhubung satu kes membabitkan mangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan