Apabila Gaza lumat, perdamaian tetap tidak akan tercapai

Zin Mahmud

Pada 7 November lalu, cukup sebulan apa yang media panggil sebagai Konflik Israel-Hamas tetapi lebih tepat lagi Perang Gaza sekian kalinya. Cuma kali ini ia menjadi suatu pembunuhan ramai atau massacre besar dengan pada tarikh itu, jumlah kematian di Gaza meningkat 8,000 kebanyakannya kanak-kanak dan bayi.

Pejuang Palestin yang mati, atau disebut syahid dianggarkan 200 orang. Pejuang itu merujuk kepada militan Hamas dan Jihad Islami.

Militan bermaksud pasukan yang bersenjata tetapi bukan digaji oleh kerajaan. Kalau pasukan bergaji kerajaan, ia dipanggil tentera. Israel mempunyai angkatan tenteranya yang bernama Angkatan Pertahanan Israel (IDF). Palestin tidak mempunyai tentera. Hamas adalah pertubuhan politik yang mempunyai sayap bersenjatanya iaitu Briged Al-Qassam.

Tidak semua ahli Hamas menganggotai briged ini. Briged ini dan militan Jihad Islami yang sedang berperang dengan Israel di Gaza pada waktu ini. Jihad Islami adalah kumpulan lain yang tidak tertakluk pada kepimpinan Hamas.

Hujung minggu lalu adalah waktu sibuk bagi Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken. Pada 5 November, beliau mengadakan perjumpaan mengejut dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Ramallah, Tebing Barat. Sebelum itu beliau bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan kemudian berada di Amman, Jordan bertemu dengan menteri-menteri negara Arab.

Selepas itu beliau pergi bertemu Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani di Baghdad dan seterusnya ke Ankara untuk berjumpa Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Blinken membawa perutusan dari Presiden Joe Biden. Tentulah tidak diketahui apa yang tersirat tetapi apa yang dilaporkan ialah Amerika sedang memaklumkan pada pemimpin- pemimpin Timur Tengah mengenai rancangannya terhadap Gaza selepas "Hamas tiada".

Pertemuan itu memakan masa satu jam. Ia diakhiri dengan video kedua pemimpin itu duduk bersebelahan dan kemudian bersalaman. Di belakang mereka ialah gambar Kubah Batu atau Dome of the Rock dengan bendera Presiden Palestin, iaitu bendera Palestin dengan ada jata negara Palestin.

Tidak ada kenyataan dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin. Laporan yang ada hanya dari pegawai pejabat Mahmoud yang enggan namanya disebut. Blinken hanya memberi kenyataan semasa beliau berada di Baghdad.

Dari mimik muka dan bahasa badan, kelihatannya rasa tidak puas hati oleh kedua-dua pihak lebih-lebih lagi Mahmoud. Wajahnya kelihatan marah dan sedih. Permintaan Mahmoud supaya gencatan senjata perlu segera dibuat telah ditolak oleh Amerika.

Sebelum itu, Amerika cadangkan kepada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu supaya diadakan gencatan senjata sementara atau pauses bagi membolehkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza. Tetapi Benjamin menolak kerana katanya sebarang gencatan senjata akan membolehkan Hamas berkumpul semula dan memulihkan kekuatan.

Mahmoud tolak gencatan senjata sementara, beliau mahu yang kekal supaya orang awam terutama kanak-kanak tidak menjadi mangsa bom. Blinken kata pihaknya akan berusaha supaya nyawa dapat diselamatkan.

Amerika bukan orang tengah di antara Israel dan Palestin. Amerika dan Israel adalah sekutu. Blinken bukan hanya seorang Yahudi tetapi mengumumkan bahawa jati diri atau

identiti beliau adalah Yahudi dan secara automatik menyokong Israel. Dalam erti kata lain beliau boleh disifatkan sebagai "Jew first, America second". Walaupun sebenarnya, menjadi Yahudi tidak semestinya menyokong Zionisme atau Israel.

Tetapi pernyataan identiti itu hanya menambah kemarahan umat Islam terhadap Amerika. Biden pula, seperti yang dipaparkan dalam video yang tertular, sejak muda lagi, iaitu ketika menjadi ahli senat adalah penyokong Israel.

Dalam satu laporan lain pula, pertemuan Blinken dengan Mahmoud membawa cadangan senario selepas Hamas dimusnahkan. Maknanya gambaran yang dibawa oleh Blinken ialah Israel menang dalam konflik ini dengan Hamas berjaya dihapuskan, sesuatu yang tentunya tidak gemar didengar oleh orang Islam. Ini kerana bagi orang Islam. Israel akan kalah dalam perang ini.

Tetapi Blinken nenegaskan bahawa walaupum Israel berjaya mengalahkan Hamas, perdamaian kekal adalah dengan menubuhkan negara Palestin merdeka dan berdaulat, iaitu penyelesaian dua negara (two states solution). Untuk itu, Amerika mempelawa Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang diketuai Mahmoud menjadi wakil keseluruhan Palestin, termasuk Gaza. Maka Mahmoud menyatakan kesediaannya untuk mentadbir Gaza. Ini kerana selama ini Gaza ditadbir oleh Hamas.

Untuk itu, Blinken mengharapkan sokongan dari negara-negara Arab khususnya Mesir, Jordan dan Iraq serta juga Turki. Cadangan ini adalah di atas senario Hamas berjaya dihapuskan di atas bumi Gaza yang hancur. Iaitu dihancurkan oleh Israel dengan menggunakan senjata yang dibekalkan oleh Amerika.

Israel tidak mahu negara Palestin yang merdeka ditubuhkan. Mereka mahu penyelesaian satu negara, iaitu Israel menelan kedua-dua Tebing Barat dan Gaza. Orang Palestin digesa supaya berpindah ke Sinai, Mesir. Atau pada perkataan lain, mereka dihalau.

Dalam pada itu sistem apartheid yang menjadikan orang bukan Yahudi sebagai warga kelas kedua diteruskan.

Tetapi pihak penyokong Palestin yang banyak dahulu menyokong penyelesaian dua negara kelihatannya kini mahukan satu negara, iaitu Palestin ditubuhkan dengan merangkum keseluruhan bumi Palestin iaitu termasuk Israel sekarang. T

etapi tentunya tanpa apartheid, semua warga, Arab dan Yahudi adalah saksama. Namum dengan hak warga Palestin di luar negara pulang ke tanah air, sememangnya orang Arab akan menjadi majoriti. Tentulah keadaan ini tidak dapat diterima oleh Israel. Fahaman Zionisme menetapkan bahawa mereka mahukan negara Yahudi. Tidak kurang daripada itu. Walaupun sekular dan demoktatik tetapi ia dalam lingkungan bangsa Yahudi.

Begitu juga jika Israel itu bermaksud merangkumi Tebing Barat dan Gaza. Maka mereka pun menghalau keluar sebahagian besar orang Palestin. Maka bukan saja orang Palestin tidak akan dapat menerima, negara-negara Arab, umat Islam malah pendapat dunia tidak akan dapat menerima.

Bukan saja perkara ini tidak dapat diselesaikan, malah untuk apa yang perlu dilakukan sebaik saja Gaza "bersih daripada Hamas" jika itu benar-benar terjadi juga tidak dapat ditangani.

Untuk menyerahkan Gaza bulat-bulat, atau sebahagian besarnya kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) adalah suatu yang sukar untuk diterima oleh penduduk Gaza. Ini kerana ia seolah-olah PA bekerja untuk Israel. Hamas dan penduduk Gaza berkorban melawan dan menjadi mangsa Israel, PA pula dapat habuan dengan memperoleh kuasa mentadbir Gaza.

Merekalah kelak dibayar gaji dan berkuasa di atas pendufuk Gaza, serentak itu melakukan sebarang dasar yang dikehendaki Israel. Rakyat Israel pun juga tidak akan setuju. Penat- penat tentera Israel melanggar Gaza dan menghapuskan Hamas, kuasa pentadbiran diserahkan kepada PA.

Tetapi setelah melumatkan Gaza, tentera Israel tentunya akan berundur, dan ada cadangan supaya pasukan tentera pengaman dari negara-negara Islam datang mengawal.

Maknanya mengawal keamanan iaitu ketika tentera Israel berundur dan pasukan pentadbir PA masuk seperti yang dicadangkan oleh Amerika. Tentera-tentera pengaman itu mungkin dari Maghribi, Turki. Pakistan, malah Malaysia pun bersedia datang.

Gaza walaupun lumat perlu dibangunkan kembali kerana rakyatnya perlu meneruskan hidup dan menyambung zuriat bangsa Palestin. Tetapi sekepas itu, apa yang perlu dilakukan dan apa yang akan berlaku?

Masa depan itu sentiasa terbuka. Apa yang akan berlaku pada sejarah adalah seringkali berada di luar daripada jangkaan. Kepimpinan Israel hampir pasti berubah. Netanyahu akan digantikan. Namun negara terpendam atau "deep state" Israel tetap tidak berubah. Begitu juga dengan Amerika. Mereka mungkin dapat presiden baharu apabila pilihan raya presiden diadakan. Gaza pasti jadi isu. Sama ada Republikan atau Demokratik yang menang, negara terpendamnya tetap sama.

Mereka akan lebih keras terhadap orang Islam di sana yang dilihat menjadi aktif dalam demonstrasi pro-Palestin terutama orang asing. Pengeluaran visa untuk pelawat dan pelajar Islam akan menjadi lebih ketat. Tetapi Amerika walau siapapun presidennya akan berusaha supaya Israel lebih selamat dengan mencari penyelesaian damai kekal untuk Palestin.

Hamas kalaupun dapat dimusnahkan akan menyertai generasi baharu pejuang Palestin, mungkin dalam bentuk lain. Perjuangan "dari sungai ke segara" akan berterusan untuk generasi-generasi akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan