Bekas juruwang mengaku salah curi jongkong emas, wang tunai

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Goh Min Xiu (tengah) dihukum penjara 5 bulan dan denda RM11,000 kerana mencuri jongkong emas dan wang tunai bulan lalu. - NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.
Goh Min Xiu (tengah) dihukum penjara 5 bulan dan denda RM11,000 kerana mencuri jongkong emas dan wang tunai bulan lalu. - NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.
MELAKA: Bekas juruwang restoran dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini kerana mencuri jongkong emas bernilai RM25,393 dan wang tunai RM2,427, bulan lalu.

Goh Min Xiu, 25, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Wanita itu mengaku bersalah terhadap dakwaan dengan niat curang mencuri jongkong emas 999 seberat 100 gram bernombor C388364 bernilai keseluruhan RM25,393 milik Kedai Emas Lee Onn di Jalan Kee Ann, di sini, kira-kira jam 4.30 petang, 30 Oktober lalu.

Min Xiu dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Dia juga didakwa mengikut Seskyen 381 Kanun Keseksaan, mencuri RM2,427 milik majikan di Restoran Top Hit Ong Thai Mookata BBQ, Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar, kira-kira jam 10 malam, 22 Oktober yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, manakala Min Xiu yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon hukuman ringan atas alasan perlu menjaga ibu yang sakit dan memohon maaf kerana sudah menyesal dengan perbuatannya.

Khairunnisak menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan penjara dari tarikh tangkap 7 November lalu dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi kes mencuri jongkong emas.

Untuk kes mencuri wang tunai, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan selepas tamat hukuman kes pertama dan denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal bayar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan