'Bomoh palsu' mengaku rogol adik ipar, anak saudara

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
PENGANGGUR mengaku salah merogol adik ipar dan anak saudara selepas menyamar sebagai pengamal perubatan. FOTO Alias Abd Rani
PENGANGGUR mengaku salah merogol adik ipar dan anak saudara selepas menyamar sebagai pengamal perubatan. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Bekas penoreh getah yang menyamar sebagai pengamal perubatan terpaksa meringkuk dalam penjara selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini tidak menawarkan ikat jamin terhadap dua pertuduhan merogol anak saudara dan adik iparnya di sebuah kuarters ladang sawit dan rumah di Segamat.

Tertuduh berusia 55 tahun yang kini menganggur didakwa melakukan perbuatan itu pada 2017 dan bulan ini sebelum dia membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol adik iparnya yang ketika itu berusia 13 tahun di sebuah rumah di Jementah, dekat Segamat, jam 12 tengahari, pada 2017.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol anak saudaranya berusia 15 tahun di sebuah kuarters ladang sawit di Segamat pada 6.30 petang, 12 November lalu.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376B (1) dan boleh dipenjara sehingga 30 dan sebatan.

Selain tertuduh, anak lelakinya berusia 17 tahun turut didakwa di Mahkamah Majistret Segamat atas pertuduhan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana mencabul mangsa sama, yang juga sepupunya.

Mengikut laporan dibuat kedua-dua mangsa, tertuduh mendakwa dia memiliki ilmu merawat pesakit khususnya berkaitan makhluk halus.

Kedua-dua mangsa tidak mengesyaki sesuatu lalu meminta merawatnya sebelum tertuduh mengambil kesempatan melakukan perbuatan keji.

Perbuatan itu terbongkar selepas mangsa memberitahu perkara itu kepada ibunya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah mengeluarkan perintah tiada jaminan diberikan dan menetapkan 11 Disember ini untuk penetapan hukuman terhadap tertuduh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan