Doktrin ditanam pembangkang punca anggap ibadah orang lain tidak betul

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF  

Sikap pihak yang mengecam ibadah umrah dilakukan Perdana Menteri sehingga meninggalkan komen negatif di laman Instagram milik Datuk Seri Anwar Ibrahim berpunca daripada doktrin ekstrem yang ditanam pembangkang.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, akibat doktrin sedemikian, sebarang tindakan orang lain yang tidak sealiran dengan mereka, semuanya dilihat tidak betul.

”Bagi saya, ini bukan soal penyokong atau netizen, tetapi ini adalah kesan daripada doktrin yang ditanam oleh pemimpin-pemimpin pembangkang.

”Ini termasuk para ulama dalam parti mereka yang menggunakan dalil-dalil agama, al-Quran dan hadis Nabi untuk menghalalkan tindakan, menimbulkan pemikiran bermusuh dan membenci orang yang tidak sealiran dengan mereka.

”Akhirnya, apa sahaja yang dibuat oleh orang lain yang tidak bersama mereka, semuanya salah.

“Mereka anggap semuanya sebagai sesuatu yang bertentangan dengan ajaran agama,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai komentar negatif seorang individu terhadap Anwar ketika tokoh pemimpin berusia 76 tahun itu sedang melakukan ibadah saie di Makkah semalam.

Netizen yang menggunakan nama man10bro itu meninggalkan komen; ‘Depan Allah kau masih nak angkuh lagi ke? Kau masih rasa kau manusia terhebat di bumi ke? Masih lagi nak acah-acah berlari macam kat Bangunan Parlimen? Nauzubillah min zalik Anwar.. teringat kisah tentang Saidina Muawiyah diambang kematian beliau..”

Semalam, Anwar berlepas dari Riyadh ke Jeddah bagi menunaikan umrah bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Tanah Suci Makkah.

Beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Anwar tiba di Riyadh tengah hari semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali kelapan bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.

Pemimpin dan delegasi dari negara anggota OIC berkumpul pada sidang kemuncak itu yang dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan