Kalau Mahathir yang tanya KJ

Mohsin Abdullah

Tempoh hari pada podcast Keluar Sekejap yang dikendalinya, Khairy Jamaluddin bersahaja tanya Dr Mahathir Mohamad “kenapa Tun tak suka saya?”. Mahathir tergamam seketika tetapi dengan tenang menjawab. Jawaban beliau tidak perlu saya ulangi kerana ramai yang mengikuti podcast berkenaan atau sudah baca laporan media mengenainya.

Bagaimanapun terlintas dalam minda saya apa kata kalau Mahathir yang tanya KJ – “Kenapa kamu tidak suka saya?” atau “adakah kamu tidak suka saya?”. Soalan kedua pada hemat saya perlu diaju dahulu kerana jawabannya akan menentukan sama ada soalan pertama relevan atau tidak.

Kedua persoalan boleh ditimbulkan jika mengambil kira apa yang Mahathir lakukan terhadap Abdullah Ahmad Badawi, yang kita semua maklum bapa mentua Khairy.

Imbau kembali 9 Mac 2008 iaitu satu hari selepas PRU12 diadakan. Umno-Barisan Nasional pimpinan Pak Lah mengalami kekalahan yang pada waktu itu dilihat sebagai paling teruk dalam sejarah politik tanah air. Ringkasnya empat negeri jatuh ke tangan pembangkang selain BN gagal menawan Kelantan meskipun kekal memerintah di peringkat pusat. Tanpa berlengah Mahathir menyerang Abdullah.

Mahathir tuduh Abdullah “memusnahkan BN”. Kata beliau, “pada pendapat saya beliau telah merosakkan Umno, memusnahkan BN dan mesti bertanggungjawab dan terima tanggungjawab 100%.”

Lalu Mahathir mahu Abdullah melepaskan jawatan perdana menteri. “Kalau orang Jepun dia sudah lakukan hara-kiri.” Hara-kiri umum tahu aksi membunuh diri dengan mengeluarkan isi perut bagi menebus ‘malu’, terutama dalam kalangan panglima perang Jepun.

Abdullah dilantik sebagai perdana menteri oleh Mahathir sendiri pada 2003 tetapi apabila keputusan PRU 2008 diketahui, beliau akui tersilap.

“Saya minta maaf kerana tersilap melantik Abdullah. Saya tidak berhasrat lihat Abdullah pegang jawatan itu lebih daripada satu penggal. Pak Lah seharusnya serah jawatan kepada timbalannya, Najib.”

Mahathir disokong dan dibantu oleh Muhyiddin Yassin yang waktu itu naib presiden Umno bergerak ke merata tempat mengadakan perjumpaan yang bolehlah dilihat sebagai gerakan gulingkan Abdullah. Kritikan keras dilempar, kata-kata kesat digunakan secara terbuka dan melalui surat. Mahathir dan Co desak Abdullah berundur.

Mahathir juga menyalahkan menantu Abdullah antara punca prestasi buruk Umno-BN pada pilihan raya 2008.

“Saya fikir menantunya ada peranan besar. Anak muda ini yang tidak pernah mencapai apa-apa sebelumnya tetapi perdana menteri bersedia mendengar apa kata dia daripada dengar polis, anggota Cawangan Khas dan tentera yang lebih dekat dengan masyarakat akar umbi,” Mahathir dilapor berkata.

Jelas selain mencemuh Abdullah, Mahathir menyerang “budak-budak tingkat empat” diketuai KJ, yang menurutnya mempengaruhi pelbagai keputusan Abdullah khususnya membabitkan urusan kerajaan. ‘Tingkat empat’ merujuk pejabat di Putrajaya yang menempatkan penasihat dan pembantu Abdullah selaku perdana menteri.

Saban hari bermacam lagi kritikan dilempar ke atas Abdullah yang saya tidak ada niat mengulanginya di sini. Tekanan demi tekanan termasuk yang datangnya dari dalam Umno. Akhirnya Abdullah melepaskan jawatan kurang setahun kemudian yakni pada 3 April 2009. Beliau diganti oleh Najib Razak. Muhyiddin kemudiannya diangkat sebagai timbalan perdana menteri setelah berjaya memegang jawatan timbalan presiden Umno.

Pada 11 Sept 2022, Khairy ketika itu menteri kesihatan dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob buat kali pertama mendedahkan bapa mentuanya menghidap dementia – tidak ingat nama sendiri juga isteri dan ahli keluarga.

“Saya ingin berkongsi satu perkara peribadi yang tidak pernah saya kongsi sebelum ini yang Pak Lah mengidap dementia. Beliau mula menunjukkan tanda kemerosotan kognitif sejak tahun 2009 selepas beliau bersara.”

Setelah Abdullah berundur, Khairy kekal dalam Umno, menjadi menteri dalam Jemaah Menteri Najib dan setahu saya tidak menyerang Mahathir apa lagi dengan keras. Apabila Muhyiddin menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional hasil Langkah Sheraton, Khairy duduk dalam Jemaah Menterinya. Selepas PRU15, Muhyiddin berada dalam blok pembangkang menentang kerajaan perpaduan, Khairy mempunyai hubungan dengan beliau malah pertimbangkan pelawaan menyertai Bersatu tetapi akhirnya tidak menerima tawaran.

Saya berpendapat Khairy ada alasan untuk bertindak ke atas Mahathir dan pasukannya berdasarkan apa yang mereka lakukan ke atas bapa mentuanya dan beliau sendiri, tetapi memilih untuk ‘berbaik’. Bersikap profesional mungkin?

Mujur Mahathir tidak tanya soalan di awal cerita ini tadi. Jika ditanya apa lah yang KJ akan jawab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan