HarapanDaily.com
Siasatan polis mendapati pergaduhan sekumpulan peniaga gerai makan di Laman Siti Khadijah, Kota Bharu petang kelmarin dipercayai berpunca dari isu berebut pelanggan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kes itu malam tadi.
“Kedua-dua belah pihak, pemilik premis berusia 30-an dan 40-an tampil ke Balai Polis Kota Bharu untuk membuat laporan.
“Namun, beberapa jam kemudian, mereka menarik balik laporan terbabit dengan alasan ingin menyelesaikan perkara itu secara aman.
“Bagaimanapun, kami tetap meneruskan siasatan dan akan mengesan serta menangkap suspek yang terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 1 minit 22 saat mengenai pergaduhan itu melibatkan sekumpulan lelaki dan wanita, disyaki pemilik serta pekerja masing-masing.
Berdasarkan video itu, Mohd Rosdi berkata, pihaknya akan terus menjalankan siasatan lanjut dan tindakan susulan akan diambil kerana kejadian yang berlaku menjejaskan keamanan masyarakat.
“Tindakan kedua-dua pihak yang cuba menarik balik laporan polis dengan tujuan untuk selesaikan sendiri bukan penyelesaiannya kerana kesan pergaduhan itu menjejaskan keamanan masyarakat secara amnya.
“Pihak polis akan terus menjalankan siasatan dan tindakan susulan bakal diambil kerana tidak mahu orang ramai terbiasa dengan tindakan sendiri yang membelakangi peruntukan undang-undang semasa,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK) yang mana jika disabitkan dengan kesalahan, kesemua yang terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan