KJ: Perolehan Ventilator yang tak berfungsi dibuat sebelum saya jadi menteri kesihatan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin menjelaskan perolehan peralatan ventilator ketika negara berdepan pandemik Covid-19 dibuat sebelum beliau dilantik menteri kesihatan.

Khairy berkata pembelian peralatan itu dibuat oleh menteri sebelumnya pada tahun 2020, sedangkan beliau hanya memegang jawatan itu pada Ogos 2021.

Sebelum itu, jawatan berkenaan dipegang Dr Adham Baba.

“Bukan saya nak cakap saya campak menteri lain di bawah bas (menyalahkan menteri lain), tetapi ini adalah fakta, soal vaksin saya tak campak sesiapa di bawah bas ia tanggungjawab saya.

“Tetapi ventilator macam mana saya nak bertanggungjawab saya bukan menteri kesihatan waktu itu, soal ventilator ini kena tanya tuan punya badan,” katanya pada program podcast Keluar Sekejap yang disiarkan hari ini.

Selain ventilator, Khairy turut menjelaskan bahawa pembelian peralatan perlindungan diri (PPE) juga dibuat sebelum beliau menjadi menteri kesihatan.

“Saya kena jelaskan, sama juga dengan PPE (peralatan perlindungan diri), sebab perolehan dibuat sewaktu sebelum saya (jadi Menteri Kesihatan),” katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sebanyak 136 ventilator tidak dapat digunakan selepas perolehan dibuat dari China.

PAC turut mendedahkan kira-kira 10% atau 8.5 juta dos vaksin Covid-19 dianggarkan bernilai RM505 juta telah luput setakat Jun lalu.

Mengulas isu vaksin luput, Khairy mengakui perolehan itu di bawah seliaan beliau namun menegaskan, penjelasan lanjut telah dibuat dalam siasatan PAC beberapa kali serta kepada Ahli Parlimen.

“Sebelum PRU saya telah jawab kepada PAC berkaitan perolehan vaksin vaksin dan dapat pelaporan bersih, kertas putih disediakan KKM menjelaskan segalanya bagaimana perolehan vaksin dibuat.

“Ini kali ketiga siasatan PAC berhubung isu tarikh luput, (siasatan itu). Mungkin ada pihak berniat baik saya tak ada masalah, tapi ada berniat jahat mungkin isu ini akan menjadi skandal besar nak lihat Khairy memakai baju oren ia jelas dan nyata tak terjadi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan