MSO: Pas noktahlah menanti buah tidak gugur

Mohd Sayuti Omar

19 HARI lagi genaplah setahun Anwar Ibrahim jadi pedana menteri ke-10. Beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri tanggal 24 November 2022. Keesokan harinya kemudian beliau menubuh kebainet dengan kerjasama dari BN-Umno dan juga parti-parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Politik Sarawak (GPS). 
Pelantikan Anwar sebagai perdana menteri ditolak oleh dua parti Melayu yang berkoalisi; Bersatu pimpinan Mahiaddin Yassin dan parti Pas pimpinan Abdul Hadi Awang. Mereka menolak kerajaan Perpaduan kerana kesal mereka tidak dapat menubuhkan kerajaan sedang dalam hisab politik mereka, mereka sudah mencukupi jumlah untuk membentuk kerajaan.

Cadangan Yang di-Pertuan Agung agar membentuk kerajaan Perpaduan bersama PH dan BN ditolak mentah-mentah oleh Mahiaddin dan Abdul Hadi atas kepercayaan dan keyakinan mereka yang lebih berhak. Bayangkan kalau mereka bersetuju untuk bersama membentuk kerajaan Perpaduan, keadaan negara tidak terus mengawat seperti hari ini dan kita dapat meredakan politik negara.

Paling merugikan atas tindakan "bodoh sombong" itu ialah kepada Pas yang menguasai 42 kerusi daripada 222 kerusi. Pas tidak bijak dan tahu untuk menggunakan peluang kemenangan bersejarah itu masih bersetia dengan politik yang tidak ada nilai kesetiaan. Perhitungan Pas khilaf. 

Lantaran kekecewaan itu Bersatu dan Pas yang membentuk PN, tidak mendiamkan diri. Mereka terus berusaha untuk menggugat dan menjatuhkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sekaligus meleburkan kerajaan Perpaduan ummah. Mereka tidak mengikhtiraf pembentukan kerajaan Perpaduan itu yang didokong Umno, GRS, GPS dan Bebas.

Kejayaan tindakan politik tidak bermoral dikenali dengan Langkah Sheraton mempengaruhi buana politik mereka. PN yakin apa yang berlaku pada 23 Februari 2020 itu akan berulang. Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar akan tumbang seperti mana tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir Mohamad, dan Mahiaddin akan kembali jadi perdana menteri lagi sekali.

Kini sudah hampir setahun kewujudan kerajaan Perpaduan. Masa dan tempoh ditunggu oleh PN untuk melihat kerajaan Perpaduan tumbang sudah melewati masa mengandung seorang ibu. Ibu yang hamil memerlukan tempoh sembilan bulan 10 hari sahaja untuk melahir. Sekiranya dalam tempoh itu ibu tidak menunjukkan tanda-tanda melahir ada sesuatu yang berlaku kepada kandungannya. 

Biasanya doktor akan mengambil langkah sesuatu untuk menyelamatkan bayi dan ibu. Terbaik ialah melakukan pembedahan (caesarean). Dengan cara itu ibu selamat, anak pun selamat dan suami juga akan bergembira. 

Nah. hal sama sepatutnya dilakukan oleh PN khususnya Pas. Mereka perlu mengaku kalah sesusudah hampir setahun menunggu bagaikan buah tidak gugur, terlaksananya rancangan mereka untuk gugatkan Anwar dan leburkan kerajaan Perpaduan. Pas perlu membuat muhasabah dari semua aspek agar tidak tertipu dengan "kehamilan" kosong itu sekaligus menyelamatkan kemenangan besar Pas. Pas tidak patut membuang masa menanti sesuatu yang mustahil berlaku atau terjadi.

Mulanya, Mahiaddin dan Abdul Hadi optimis dengan apa dirancangkan itu. Daripada pernyataan seawal usai Pemilu dibawakan cerita sudah cukup jumlah, bahkan Hadi Awang kata jumlah sudah melebihi. Selepas jumlah yang dikatakan sudah melebihi itu bohong maka diberi tempoh demi tempoh lain untuk melihat terlaksanakan agenda itu. 

Mulanya mereka meletakkan sasaran dalam tempoh sebulan kerajaan Perpaduan akan runtuh. Kononnya sesuatu mengejutkan akan berlaku apabila ada ahli parlimen menarik sokongan menyebabkan jumlah minimum 122 dimiliki Anwar akan kurang. 10 ahli parlimen yang dikatakan akan berbuat demikian ialah dari Umno.

Dengan penarikan 10 orang itu ia akan diikuti oleh penarikan dari oleh semua ahli parlimen GPS (28) dan GRS (6). Dengan menggangam jumlah kerusi sebanyak 74 (PN) campur 10 campur (Umno) GPS (28) dan GRS (6) mereka mendapat 118 kerusi sudah lumayan untuk bentuk kerajaan.

Bagaimana pun angan-angan itu menjadi badai dan angin lalu sahaja apabila 10 orang ahli parlimen Umno yang dikatakan diketuai oloeh Hishammuddin Hussein dan mendapat sokongan bekas PM Ismail Sabri Yaacob tidak menjadi kenyataan apabila mereka terikat dengan akta anti lompat. SD yang mereka tanda tangan di hadapan presiden parti (Ahmad Zahid Hamidi) menghalang mereka berbuat khianat. 

Mulanya bagi mengelak mereka terikat dengan akta anti lompat mereka merancang untuk mengosongkan kerusi kemudian bertanding kembali. Dengan cara itu mereka tidak terikat dan lepas daripada akta anti lompat. Namun setelah membuat kajian sekiranya mereka bertanding kembali belum pasti menang, rancangan itu terhenti. Mereka mula mengira untung dan rugi.

Setelah itu dikarang pula narasi lain, iaitu mereka menunggu akan keputusan pilihan raya di Pulai. Kematian sahabat saya Salahuddin Ayub (23 Julai 2023) dijadikan sebagai peluang untuk mereka mengambil alih kerajaan. Kononnya kalau kerusi Pulai mereka menang, ia menambahkan jumlah dalam PN daripada 74 menjadi 75 dan 76 setelah ahli Parlimen budak dari Muar menarik sokongan kepada Anwar Ibrahim.

Sebenarnya dengan 76 kerusi itu PN masih belum dapat membentuk kerajaan. Dari mana 46 kerusi lagi mereka hendak cari. Apakah masih mengharap bantuan GRS dan GPS serta 10 orang ahli Parlimen Umno yang kembali bermunajak dan berisikharah itu? Namun ada rakyat bawahan mempercayai narasi berkenaan kerana ia disebut oleh mereka dianggap keramat pusu jantan.

Setelah masa ditunggu itu terus menjadi buah busuk yang tidak gugur, dibina naratif baru pula PN kononnya akan menggugat kerajaan Perpaduan apabila mereka terlebih dahulu merampas kerajaan Pahang. Pilihan raya Pelangai dijadikan helah dan tektik untuk serang hendap kerajaan Perpaduan. Kononnya apabila kerajaan Pahang jatuh menyebabkan kerajaan Perpaduan akan tergugat. Justeru tergila-gila pengundi lemau mengundi Pas kerana percaya dengan kata-kata itu.

Harapan dan impian PN itu sekali lagi menjadi debu-debu berterbangan, apabila Pelangai kalah, narasi mereka cipta pun kecundang. Penyokong dan ahli dibawa boleh meratah mimpi semata-mata. 

Perkembangan dan kegagalan demi kegagalan itu membentuk satu gelombang negatif dalam PN dimana sudah ada yang mulai rasa kurang percaya dan yakin kepada harapan dan impian yang ditabur itu. Para pemimpin PN bergaduh sesama sendiri. Dalam Bersatu sudah menyinis Pas apabila Pas dilihat cuba membawa "bomoh Siam" membantu parti tersebut.

Kesan besar kepada koalisi itu apabila dua orang ahli Parlimen PN (Bersatu) Iskandar Zulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Sabah) menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar Ibrahim. Perubahan sokongan itu menjadi PN terpukul.  
(Terkini MP Gua Musang isytihar sokong Anwar) 

Sebenarnya bukan dua orang ahli Parlimen itu sahaja, tetapi ada dua atau tiga orang lagi mengambil keputusan sama termasuk daripada Pas. Sokongan itu memberi pukulan kepada PN dan melemahkan semangat ahli di bawah yang sebelum ini digumba dengan dongengan pengambil alih kerajaan. PN seperti tidak mampu membendung ahli parlimennya daripada memberi sokongan kepada kerajaan kerana masing-masing berhadapan dengan masalah kewangan (peruntukan) untuk membantu rakyat.

Orang terkesan dan kecewa dengan tindakan itu ialah Mahiaddin Yassin dan Hamzah Zainuddin yang dikatakan pemimpin PN membina narasi yang kononnya kerajaan Perpaduan akan tumbang. Kegagalan itu menimbulkan perselisihan pendapat sehingga ada hasrat untuk salah seorang mengundur diri. 

Mahiaddin yang menyerahkan kerja untuk kudeta kerajaan Perpaduan kepada Hamzah sangat kecewa apabila cita-cita itu tidak dicapai seperti dijanjikan. Paling mengecewakan lagi dengan tindakan dua ahli parlimen mereka yang menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar selaku perdana menteri. Wibawa dan kreadibiliti mereka merudum. Kekecewaan itu juga menyebabkan Pas memanggil bomoh Siam.

Tindakan dua ahli parlimen menyatakan sokongan kepada Anwar menyebabkan Mahiaddin berselehengan besar dengan Hamzah. Kepercayaan Mahaidin kepada Hamzah yang dikatakan mampu melakukan kejutan -- menjatuhkan kerajaan Perpaduan tidak menjadi, menyebabkan Mahiaddin frustasi. Rentetan kekecewaan itulah menyebabkan Mahiaddin menyatakan hasrat untuk berundur dari parti politik tidak mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan parti terdekat ini. 

Biarlah tidak perlu kita menghurai dan melihat nasib dan angan-angan Bersatu itu. Yang nyatanya hubungan dan kemesraan serta harapan kedua mereka Mahiaddin dan Hamzah untuk melihat kerajaan perpaduan tumbang tidak menjadi. Habis sudah. Khalaf. Kalau ianya tidak ditamatkan dalam minda manusia politik yang merestuikan kejahatan, sekurang-kurangnya harapan untuk melihat kerajaan Perpaduan tumbang ia kini jadi seperti ikan yang sudah berada di daratan.

Namun apa yang hendak dikisahkan di sini ialah nasib parti Pas yang ikut sama berpartisipasi dan terpesona dengan khayalan politis orang yang bernafsu menjadi kerajaan. Apakah sesudah Mahiaddin dan Hamzah gagal merancana apa yang diharapkan itu, mereka (Pas) masih bergantung harap, mencari tangga dan sigal untuk meruntuhkan kerajaan. Apakah Abdul Hadi masih percaya dan yakin dan terus berdoa untuk melihat Anwar tumbang.

Seperti dikatakan sesudah hampir setahun kerajaan Perpaduan ditubuh ia semakin kukuh dan kuat. Kerajaan Perpaduan semakin mendapat sokongan dan dokongan. Keputusan pilihan raya kecil di Johor dan Pahang menunjukkan tanda-tanda kerajaan perpaduan kian diterima. Begitu juga sikap anak-anak muda, para siswa dan para pegawai kerajaan termasuk tentera dan polis yang sebelum ini seperti belum berpuas hati dengan kerajaan sudah beralih rasa dan mereka dapat melihat realiti kerajaan.

Perbelanjaan yang dibentangkan oleh Anwar di parlimen bulan lepas memantapkan lagi sokongan. Setiap pengorbanan dan kepedulian Anwar untuk kesejahteraan rakyat yang dicerminkan dalam bajet berkenaan menyebabkan rakyat sudah mengetahui iltizam dan komitmen kerajaan Perpaduan. Kesungguhan Anwar menguruskan pentadbiran negara meletakkan rakyat di hadapan dan usaha berterusan menghapuskan rasuah menyakinkan rakyat.

Bertolak dari keadaan itu, apakah Pas masih berpegang kepada takah lama berpegang kepada mimpi Mahiaddin dan Hamzah. Setelah kandungan lebih sembilan bulan belum juga melahirkan Pas perlu mencari alternatif lain untuk menyelamat keadaan diri. Adalah dangkal kalau Pas mengambil sikap setia menanti sesuatu yang nihil. Pas bukan sahaja setakat kena cerdik dalam berpolitik tetapi bijaksana.

Inilah yang hendak disembangkan pada pagi ini. Rasanya Pas sebagai parti yang cukup dewasa dan menyedari mereka adalah parti Melayu terbesar negara waktu ini, perlu bijak menggunakan kesempatan itu. Pas tidak perlu melacurkan dirinya untuk kepentingan orang lain, sebaliknya menggunakan kehebatan dirinya untuk memancu politik demi negara dan bangsa. Perangkap dan pikatlah lelaki dengan keayuan dan peribadi diri. Pas perlu berdikari dan hormat kepada karisma sendiri.

Banyak perkara yang Pas boleh lakukan dengan pengaruh dan jumlah kerusi dimiliki kini (42 kerusi). Pas jangan mengsia-sia pengaruh dan kekuatan itu. Kemenangan besar itu belum tentu akan berulang. Misalnya dengan menguasai empat buah negeri satu pencapaian menakjubkan, Pas perlu memeliharanya sebaik mungkin bagi menambahkan keyakinan rakyat kepadanya. Empat buah negeri itu modal besar untuk pembinaan masa depan Pas lebih cemerlang. 

Pas perlu membangun dan menunjukkan model negara dan bentuk pemerintahan yang diimpikan selama ini diempat buah negeri berkenaan. Bukan hal sukar untuk Pas berbuat demikian. Pas harus reti mengambil kesempatan dan bijak menggunakan peluang dengan menjalinkan kerjasama Persekutuan. Ambil kesempatan semasa Anwar manjadi perdana menteri yang terbuka dan penuh pengertian. 

Bagi Anwar empat buat negeri itu tidak ada apa-apa kepentingan untuk kuasa politiknya. Baginya kalau empat buah negeri itu tidak menyokongnya di Parlimen beliau sudah pun mempunyai kekuatan dan kuasa. Logiknya beliau tidak pun perlu sokongan dari empat buah negeri itu, tetapi yang dimusykil ialah pembangunan untuk rakyat.

Sebaliknya empat buah negeri itu memerlukan simpati dan bantuan daripada Pusat. Nah untuk mendapatkan itu tidak ada cara lain melainkan mereka perlu menjalinkan kerjasama dan mendokong kerajaan Perpaduan. Jika ini dilakukan Pas, mereka dapat memelihara hubungan baik dengan keempat-empat negeri dikuasainya itu. 

Pas perlu faham mereka tidak mendapat apa-apa kalau meneruskan kerjasama dengan Bersatu dan memerangi kerajaan Perpaduan. Bersatu hanya menempel dan menumpang Pas sahaja. Tanpa berkerjasama dengan Bersatu pun Pas dapat memerintah empat buah negeri itu secara solo. Jadi untuk apa Pas masih berpegang dan mempercayai kepada mimpi siang yang dijaja oleh Mahiaddin dan Hamzah untuk menguasai negara?

Sebelum ini saya sudah memberi pandangan agar Pas bermain politik seperti mana orang-orang di Sabah dan di Sarawak. Mereka berpolitik untuk kepentingan negeri mereka dan tidak menjadikan soal puak dan kumpulan sebagai satu matlamat. Nah sepatutnya cara itu diikuti dan dipraktiskan oleh Pas. 

Apa Pas perlu fikir dan kaji, ia tidak boleh merasa selesa dengan pencapaian hari ini bahawa kedudukan dan pengaruhnya akan kekal selama-lamanya. Dalam tempoh empat tahun iklim dan suasana politik boleh berubah. Sekiranya kerajaan Perpaduan terus membawa pembangunan dan keselesaan kepada rakyat, ia akan terus mendapat sokongan. 

Sebaliknya kalau Pas gagal untuk melakukan perubahan dan membawa sesuatu pembaharuan semasa di empat buah negeri itu tunggulah masa untuk Pas ditinggalkan. Pas tidak boleh bertahan dengan doa, tahlil atau pun ceramah untuk mengukuhkan pegangan rakyat kepada partinya, tetapi memerlukan material dan pembangunan sama. Zaman orang berpuas hati dengan Islam rituan sudah mulai kendur. 

Justeru untuk menyelamatkan keadaan dan mengekalkan momentum yang ada hari ini Pas perlu berbuat sesuatu yang positif dan bersifat jangka panjang. Satu cara ialah menilai kemampuan Bersatu atau PN itu, apakah ia dapat membantu Pas mengekalkan mometum kini atau pun tidak. Para pemimpin Pas perlu waras dan rasional dalam menilai ini. Mereka jangan hanya secara bulat-bulat menerima nasihat daripada individu tertentu yang oportunis dalam Pas yang lebih memikirkan kedudukan diri mereka daripada potensi parti dimasa hadapan.

Ada berpendapat keputusan, tindak tanduk diambil oleh Pas walaupun ia banyak atas keputusan dan ramuan politik Abdul Hadi Awang tetapi adalah atas nasihat individu lain yang menjadi dalang. Hadi hanyalah sekadar belulang kering dijadikan wayang semata-mata. Mungkin presiden Pas itu tidak mendapat gambaran yang jelas dan kedudukan sebenar dan percaya kepada pandangan orang berkepentingan itu sahaja. Inilah yang berlaku. 

Selagi pemimpin lain jadi "lembek mulut" seperti Tuan Ibrahim, Mohd Amar, Samsuri Mokhtar untuk bercakap dan menegur Abdul Hadi yang seakan sudah hilang tumpuan faktor usia itu, maka selama itu Pas akan dibawa mengikut dendangan lagu Abdul Hadi yang digubah oleh mereka yang oportunis tadi. 

Berhentilah menanti gugurnya kerajaan Perpaduan dan berpolitiklah secara waras dan fatah demi rakyat. Pas harus yakin diri sendiri. [wm.kl.11:05 05/11/2023]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan