Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba berusaha menyahcemar lokasi. FOTO Ihsan Bomba
Sandakan: Seorang pekerja maut manakala 17 cedera dalam kejadian kebocoran gas amonia di kilang kiub ais di Batu 3, di sini, jam 10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, ketika kejadian seorang mekanik dibantu oleh tujuh orang pekerja lain sedang membuat penyelanggaraan mesin pemotong ais.
Menurutnya, ketika menjalankan kerja penyelengaraan satu paip sistem penyejukan bocor.
"Kejadian menyebabkan gas amonia dalam keseluruhan tiub sistem penyejukan tersembur keluar.
"Seorang pekerja lelaki tempatan berumur 40 tahun yang berada berhampiran paip yang bocor terkena gas amonia tidak sedarkan diri, " katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Duchess of Kent Sandakan (HDOK) sebelum disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital.
"Seramai 18 orang pekerja berumur 21 hingga 55 tahun sedang bekerja di kilang berkenaan pada masa kejadian berlaku.
"Susulan itu, 17 orang pekerja kini sedang menerima rawatan di HDOK.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian," katanya.
Terdahulu, seorang pekerja kilang itu parah dan 12 lagi mengalami simptom sesak nafas serta sakit kulit selepas mesin ais pecah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan