Mohamad Fadli
PETALING JAYA: Seorang pemimpin pemuda Umno menggesa Presiden PAS Abdul Hadi Awang supaya berhenti membuat kenyataan seolah-olah pentadbiran Putrajaya akan bertukar sebelum penggal tamat.
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata ini kerana tindakan seumpama itu hanya menyebabkan rakyat ‘terseksa’ dengan permainan orang politik yang membuat percaturan berkenaan.
“Rakyat nak dengar apa yang boleh pemimpin bantu rakyat dan apa ruang ekonomi yang boleh diberikan kepada rakyat.
“Bukan nak dengar cerita karut yang tidak habis-habis gilakan kuasa,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Hadi semalam yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) masih berusaha menarik sokongan pemimpin Umno yang tidak menyokong kerjasama dalam kerajaan perpaduan untuk bergabung dengan mereka.
Hadi turut berkata pencalonan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar di PRK Kemaman, 2 Dis depan sebagai persediaan untuk gabungan itu mengambil alih pentadbiran Putrajaya.
FMT sebelum ini melaporkan penganalisis politik melihat tindakan PAS mencalonkan Samsuri sebagai strateginya menampilkan calon perdana menteri dari golongan profesional.
PRK Kemaman 2 Dis ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Samsuri yang juga naib presiden PAS dengan Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mewakili Barisan Nasional (BN).
Ia diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu 26 Sept lalu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid daripada PAS pada PRU15.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan