V Anbalagan
N Sanderasegaran dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2018 kerana membunuh teman wanitanya di sebuah rumah di Simpang Pulai. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA: Seorang bekas pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Persekutuan atas kesalahan membunuh kerana berulang kali merotan teman wanitanya berusia 17 tahun sampai mati.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Zabidin Diah, yang membenarkan rayuan pihak pendakwaan mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2018, turut memerintahkan hukuman penjara N Sanderasegaran bermula 28 Feb 2016 dan 12 sebatan.
Tahun lalu, Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati Sanderasegaran dengan penjara 20 tahun kerana menyebabkan kematian S Durga Devi.
Zabidin yang bersidang bersama Hakim Mary Lim dan Nordin Hassan berkata, Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam mengurangkan tuduhan bunuh kepada homisid salah yang tidak bersamaan dengan bunuh.
“Kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan. Tetapi, ia berdasarkan budi bicara kami sama ada menjatuhkan hukuman mati atau penjara (antara 30 dan 40 tahun).
“Tertuduh memukul mangsa dengan rotan secara berterusan dan terdapat 129 kesan kecederaan di badan.”
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fairuz Johari, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum 40 tahun kerana nyawa seorang gadis diambil dan atas alasan kepentingan awam.
Peguam Charan Singh yang dibantu Noorfaridah Arshad, mencadangkan hukuman penjara 30 tahun dan minimum 12 sebatan.
Sanderasegaran melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai, dekat Ipoh antara 11 malam 27 Feb 2016 dan 6 pagi keesokannya.
Motif pembunuhan tidak didedahkan dalam perbicaraan.
Fairuz berhujah kecederaan badan mangsa disengajakan dan cukup menyebabkan kematian dalam keadaan biasa.
Katanya, ahli patologi forensik, Shafie Othman dalam keterangannya semasa perbicaraan menyokong kes pendakwaan bahawa Durga Devi dibunuh.
Shafie dilaporkan berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di badan dan kepala.
Hakim perbicaraan Che Ruzima Ghazali, kini hakim Mahkamah Rayuan, dalam penghakimannya berkata pembelaan Sanderasegaran bahawa mangsa dibunuh dalam rompakan rekaan semata-mata.
Beliau berkata, Sanderasegaran hanya cedera ringan di tangan, manakala barang kemas dipakai mangsa tidak dicuri.
Katanya, pencuri biasanya tidak berada di tempat kejadian cukup lama untuk mendatangkan kecederaan sedemikian kepada mangsa kerana mereka akan melarikan diri secepat mungkin untuk mengelakkan ditangkap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan