'Saya terkejut... jadi saya menyorok'

Raja Noraina Raja Rahim

rnoraina@hmetro.com.my
ANTARA warga asing yang ditahan di gudang simpanan barangan di Seksyen 22 Shah Alam. FOTO Sadiq Sani
ANTARA warga asing yang ditahan di gudang simpanan barangan di Seksyen 22 Shah Alam. FOTO Sadiq Sani
Shah Alam: "Saya terkejut lihat ramai (penguat kuasa) yang datang dan kawan-kawan saya lari, jadi saya pun menyorok," kata lelaki warga Indonesia yang ditemui bersembunyi di sebalik kerusi ketika serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di gudang simpanan barangan di Seksyen 22, di sini.

Lelaki berusia 26 tahun itu memberi alasan terbabit selepas ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan JIM Selangor pada 12.05 tengah malam tadi.

Selainnya, beberapa warga asing turut bersembunyi di celah barangan di dalam gudang dan di bawah tangga, dengan keseluruhan 245 warga asing berjaya ditahan.

Pengarah JIM Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi dengan kekuatan 91 pegawai dan anggota dilakukan susulan aduan serta risikan sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, seramai 244 lelaki dan seorang wanita warga asing berusia antara 20-an hingga 50-an berjaya ditahan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh (102 orang); Nepal (61), India (58), Pakistan (20); Indonesia (3) dan Sri Lanka (1).

"Pemeriksaan awal mendapati kebanyakan mereka melakukan kesalahan menyalahgunakan pas, tinggal lebih masa dan tiada dokumen perjalanan sah," katanya kepada pemberita selepas operasi.

Khairrul berkata, kesemua warga asing ditahan itu dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kata beliau, sekiranya warga asing terbabit disahkan melakukan kesalahan, mereka akan ditahan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut di mahkamah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan