Terengganu: Mayat bayi dalam tandas surau di Jertih

Bernama
Polis berkata bayi itu dipercayai sudah meninggal dunia lebih dua hari.
JERTIH: Penduduk sekitar kawasan Rumah Awam Pengkalan Nyireh gempar susulan penemuan mayat seorang bayi perempuan dalam tandas sebuah surau.

Ketua Polis Besut, Abdul Rozak Muhammad, berkata mayat bayi itu dijumpai beberapa penduduk kawasan itu yang terhidu bau busuk dari dalam satu tandas surau, pada 10 pagi.

Beliau berkata, beberapa orang awam kemudian masuk ke dalam tandas itu untuk memeriksa dan mereka menemukan satu baldi berwarna merah dalam keadaan terlungkup di lantai tandas.

“Saksi kemudian membuka baldi itu dan ternampak mayat bayi di dalam plastik warna jernih, lalu mereka memaklumkan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) surau yang kemudiannya menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan oleh sepasukan pegawai serta anggota Forensik IPK Terengganu mendapati mayat bayi perempuan itu dalam keadaan cukup sifat, dan tiada kecederaan ketara dikesan pada mayat.

“Berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau, bayi itu dipercayai meninggal dunia lebih 48 jam,” katanya dan menambah mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

Rozak berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan