Warga asing berniaga di pasar pagi timbulkan persoalan

MOHD AZLIM ZAINURY
Tangkap layar laman X @nanmanjoi8715 pada Khamis.
Tangkap layar laman X @nanmanjoi8715 pada Khamis.
KLANG - Dua individu dipercayai warga asing yang berniaga di pasar pagi Eng Ann di sini menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat setempat.

Warga asing terbabit didakwa menjual ikan sejak setahun lalu sekali gus menimbulkan tanda tanya siapa yang memberi kebenaran kepada mereka berniaga di tapak pasar pagi itu.

Perkembangan itu dikongsi pengguna laman X @nanmanjoi8715 menerusi satu video pendek yang dimuat naik pada Khamis.

Individu terbabit turut mempersoalkan tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan berkenaan.

"MPK (Majlis Perbandaran Klang) buat apa," soalnya di laman X miliknya pada Khamis.

Video berkenaan turut menerima reaksi dalam kalangan warganet yang turut bimbang dengan nasib peniaga tempatan sekiranya perkara itu berterusan.

Sementara itu, pihak MPK ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan pihaknya tidak berkompromi dalam isu berkenaan dan kerap mengadakan operasi membanteras peniaga asing.

"Kita akan melakukan pemantauan dan tinjauan ke lokasi kejadian dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga terbabit malah MPK telah mengadakan operasi membanteras peniaga asing baru-baru ini," katanya.

Pada Oktober, menurut MPK, dua warga asing yang menjaja tanpa lesen di dua pasar pagi sekitar Klang Selatan menerima pengajaran apabila barangan mereka disita PBT itu.

"Mereka didapati menjaja makanan dan sayur-sayuran tanpa lesen di kawasan terlibat, dan MPK bertindak atas aduan peniaga dan orang awam mendapati dua penjaja berniaga tanpa lesen serta di luar petak niaga.

“Tindakan sita dilakukan Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Penjaja (MPK) 2007 ke atas mereka masing-masing di Taman Sri Andalas dan Taman Klang Jaya,” katanya turut memaklumkan operasi itu diadakan secara berterusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan