Anwar peroleh perintah injunksi halang Sanusi ulang kenyataan fitnah

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh perintah injunksi inter-parte bagi menghalang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor daripada mengulangi dan menerbitkan semula kenyataan yang memfitnahnya.

Injunksi itu adalah berkaitan kes saman fitnah yang difailkan Anwar terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berhubung ucapan berbaur fitnah dalam kempen ceramah 'Jelajah PN Best Tambun'.

Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Mahazan Mat Taib membuat keputusan itu hari ini selepas mendengar hujahan peguam Datuk S N Nair yang mewakili Anwar dan peguam Yusfarizal Yussoff yang bertindak bagi pihak Muhammad Sanusi pada 16 Oktober lalu.

Nair berkata mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya dan memberikan injunksi inter-parte (perintah larangan) sehingga kes saman utama diputuskan mahkamah.

Menurutnya, Muhammad Sanusi juga dilarang daripada mengeluarkan kenyataan sama atau yang mempunyai kesan sama dalam apa jua cara, bentuk atau lain-lain yang mempunyai kecenderungan untuk menggambarkan Anwar sama ada secara langsung atau sindiran seperti dalam pernyataan tuntutan anak guamnya.

Mahkamah menetapkan pada 19 Februari depan melalui prosiding E-Review di hadapan pendaftar bagi status terkini pemfailan dokumen sebelum perbicaraan.

Pada 30 Julai lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan Anwar untuk mendapatkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) berhubung perkara sama.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 13 November lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah memberi ucapan pilihan raya pada ceramah itu sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

Dakwa Anwar, ucapan dalam ceramah itu diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama "Faizal Azumu" yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa pada 14 November lalu, kenyataan fitnah daripada video itu dipetik oleh MalaysiaKini dan portal itu menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris bertajuk "Kes liwat Anwar: Dulu kesian sungguh, sekarang PAS kata kena 'pikiaq'.

Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Plaintif mendakwa kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu.

Dakwanya, akibat daripada kenyataan fitnah itu menyebabkannya dihina, mendapat cemuhan daripada masyarakat selain memudaratkan imej dan reputasi baiknya sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pengerusi PH, Ahli Parlimen Tambun, Perdana Menteri ke-10 dan Menteri Kewangan Malaysia.

Anwar mendakwa pada 16 November lalu, plaintif melalui peguamnya menuntut defendan menarik balik, memohon maaf, mengaku janji untuk tidak mengulangi dan membayar ganti rugi kepada plaintif, namun defendan melalui surat peguamnya bertarikh 7 Disember lalu, membalas surat dan menyatakan pengakuan tidak berbelah bahagi mengenai fakta dalam ucapan itu.

Sehubungan itu, plaintif memohon ganti rugi am, teruk serta teladan selain perintah untuk menghalang defendan daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau menerbitkan kenyataan serupa terhadap plaintif serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan