Asalnya pelarian, kini penyeludup migran

Agensi
FOTO pada 10 Disember menunjukkan pelarian Rohingya yang tiba di wilayah Aceh, Indonesia. FOTO AFP
FOTO pada 10 Disember menunjukkan pelarian Rohingya yang tiba di wilayah Aceh, Indonesia. FOTO AFP
Banda Aceh: Tak sedar dek untung. Itu perumpamaan sesuai menggambarkan seorang pelarian Rohingya yang pada 2022 adalah seorang daripada ribuan pelarian etnik itu berlindung di Aceh, Indonesia, namun kini menjadi dalang penyeludupan migran ke negara ini.

Kompas melaporkan, suspek, Muhammad Amin, 35, warga Myanmar, baru-baru ini, ditahan kerana kes penyeludupan manusia ke Indonesia.

Suspek disyaki terbabit mengumpulkan etnik Rohingya dari kem pelarian Cox's Bazar, Bangladesh dan mengangkut mereka menaiki bot ke Indonesia.

Seramai 137 pelarian akhirnya terkandas di Aceh Besar pada 10 Disember lalu.

Berdasarkan soal siasat awal, difahamkan, Amin menerima sekitar 14 juta rupiah (kira-kira RM4,201) hingga 16 juta rupiah (kira-kira RM4,801) seorang sebagai 'tiket' untuk pelarian itu memasuki Indonesia.

Ketua Polis Banda Aceh Pesuruhjaya Polis Fakmi Irwan Ramli mendedahkan suspek sebelum ini pernah datang ke Aceh bersama satu lagi kumpulan Rohingya sebagai pelarian pada 2022.

"Suspek sebenarnya tinggal di kem pelarian Muara Batu di Aceh Utara pada 2022, selama kira-kira tiga atau empat bulan.

"Amin kemudian melarikan diri dari pusat perlindungan sementara di Aceh Utara. Selepas itu dia menuju ke Dumai, Wilayah Riau, dan menyeberang ke Malaysia untuk mencari kerja. Dan dia (suspek) bekerja di Malaysia kira-kira tujuh bulan," katanya pada Isnin.

Menurutnya, suspek kemudian kembali ke kem pelarian Cox's Bazar di Bangladesh, di mana dia mengumpulkan penduduk Rohingya yang mahu pergi ke Indonesia.

Fakmi Irwan berkata, sesiapa yang ingin ke Indonesia terpaksa membayarnya antara 100,000 hingga 120,000 Taka atau sekitar 14 juta rupiah (kira-kira RM4,201) hingga 16 juta rupiah (kira-kira RM4,801) seorang.

Terbaharu, katanya, suspek membawa 137 orang etnik Rohingya termasuk dirinya ke Indonesia dari kem pelarian Cox's Bazar.

"Suspek mengumpul wang daripada penduduk Rohingya, kemudian menyimpannya semula kepada seseorang bernama Yunus di Bangladesh. Kami mendapat maklumat ini di telefon suspek," jelasnya.

Menurutnya, wang itu digunakan untuk membeli bot dan menampung perbelanjaan suspek.

"Jadi, bot Rohingya itu tidak percuma. Bot itu dibeli dengan harga kira-kira dua juta Taka atau 280 juta rupiah (kira-kira RM84,027).

"Daripada mana datangnya wang itu? Jawapannya ialah daripada dana yang dikumpul setiap satu kepala pelarian etniknya sendiri," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan