Bakti kepada kucing sebelum syahid

Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my
Montaser Al Sawaf
Montaser Al Sawaf
Kuala Lumpur: Di tengah-tengah peperangan sengit dan kemusnahan dahsyat, wartawan foto di Gaza, Palestin ini masih memikirkan kebajikan untuk kucing terbiar.

Montaser Al Sawaf yang bertugas untuk Agensi Anadolu Turkiye terbunuh ketika membuat liputan di Gaza City, 1 Disember lalu, tetapi dia sempat berkongsi saat dirinya meluangkan masa menyantuni sekumpulan kucing.

Dalam video dimuat naik di Instagram sehari sebelum tragedi yang mengorbankan nyawanya, Montaser dilihat memberi makan dan minum kepada beberapa kucing di sebuah kawasan yang musnah.

Ketika dia tiba dengan membawa makanan dan air, kucing-kucing di kawasan itu berkerumun ke arahnya.

Tiga minggu lalu, rumah Montaser diserang Israel sehingga lebih 45 ahli keluarganya terbunuh termasuk ibu bapa dan dua abangnya bersama anak masing-masing.

Dalam kejadian itu, dia hanya mengalami kecederaan pada bahagian muka dan matanya.

Beberapa perkongsian individu yang rapat dengan lelaki itu mendakwa Montaser meneruskan membuat liputan di kawasan perang tanpa mendapatkan sebarang rawatan disebabkan kesukaran akses perubatan di wilayah itu.

Sebelum ini, lelaki itu dalam perkongsian di Facebook memaklumkan apa yang berlaku terhadap diri dan keluarganya tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus berkongsi kebenaran kepada dunia.

Montaser antara lebih 75 pengamal media yang terkorban di Gaza setakat ini, sama ada mereka disasarkan ketika membuat liputan mahupun berada di kediaman bersama keluarga masing-masing.

Sejak konflik itu meletus 7 Oktober lalu, Israel secara terang-terangan mengancam pengamal media bagi menutup kekejaman dilakukan mereka daripada pengetahuan dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan