Bapa dakwa anak diganggu seksual pelajar autistik

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang bapa membuat laporan polis mendakwa anak perempuannya berusia 14 tahun diganggu seksual rakan sekolah autistik di sebuah sekolah menengah Shah Alam Jumaat lalu.

Lelaki itu mendakwa pelajar terbabit mengugut akan merogol anak perempuannya dan rakannya selepas menyoal tindakannya memandang mereka.

“Selepas itu, mereka terserempak lagi dengan pelajar tersebut semasa nak balik sekolah dan memberitahu akan melaporkannya kepada cikgu. Dan pelajar lelaki tersebut spontan berkata sambil meluru merapatinya dan (sekali lagi) mengugut akan merogolnya jika mereka membuat laporan.

“Anak perempuan saya yang terkejut cuba bertindak balas melindungi diri dan sempat mengetuk lengannya dengan botol mineral kecil,” tulisnya di Facebook.

Beliau mendakwa pelajar lelaki itu terus memegang dan menggoncang kepala anaknya, mengoyak tudungnya dan memukul bahagian atas dadanya sebelum melarikan diri.

Beliau turut mendakwa guru acuh tidak acuh terhadap kes itu, dengan seorang daripadanya menegurnya apabila menyuarakan hasrat membuat laporan polis.

“Nak tunggu sesuatu buruk berlaku baru nak ambil tindakan?” soalnya.

Ketua Polis Shah Alam Iqbal Ibrahim mengesahkan menerima laporan polis itu dan siasatan sedang dijalankan.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Beliau berkata, mangsa menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat kesimpulan sehingga polis menyelesaikan siasatan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan