Imigresen tahan 47 warga asing gagal tunjuk pas kerja

ADNAN IBRAHIM

KLUANG : Seramai 47 orang warga asing ditahan selepas gagal menunjukkan pas kerja sah selepas diperiksa dalam Ops Mahir yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen  di kawasan perkilangan di Kluang semalam. 

Pengarah Imigresen Johor, Baharudin Tahir berkata, melalui operasi kira-kira pukul 10.30 pagi itu, seramai 135 pekerja termasuk warga tempatan telah diperiksa namun 47 daripadanya tidak mempunyai pas atau permit kerja yang sah. 

Katanya, pecahan jumlah pekerja asing yang ditahan adalah 23 orang daripada India, 21 orang Bangladesh, dua orang dari Sri Lanka dan seorang Pakistan dengan kesemuanya lelaki berusia antara 22 hingga 56 tahun. 

“Serbuan dilakukan berikutan daripada aduan orang awam yang menyatakan premis berkenaan disyaki menggajikan pekerja asing tanpa permit kerja sah. 

“Operasi ini juga menyasarkan warga asing yang menggunakan slip Rekablitasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 untuk bekerja di negara ini secara tidak sah,” katanya melalui kenyataan hari ini. 

Menurut Baharudin lagi, penahan warga asing tersebut mengikut Seksyen 6(1) (c) iaitu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1) (c) iaitu tinggal lebih masa. 

Ujarnya, mereka juga ditahan dengan munasabah melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11(7) (a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dengan menyalah gunakan pas lawatan sosial (PLS) dan Peraturan 39(b) iaitu syarat pas ditetapkam mengikut Peraturan-Peraturan yang sama. 

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru untuk siasatan lanjut,”katanya lagi. 

Baharudin berkata, pihaknya menyeru kepada semua majikan agar menggunakan peluang mendaftarkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang memenuhi syarat dalam RTK 2.0 ini. 

“Tarikh tamat pendaftaran adalah pada 31 Disember ini dan tindakan tegas akan dikenakan kepada yang didapati menggajikan pekerja tanpa memiliki dokumen sah selepas gagal menggunakan kesempatan menyertai program RTK 2.0 ini,” katanya.  –UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan