Jangan main isu akidah dalam politik sebab itu kerja Khawarij

HarapanDaily.com

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu klip kuliahnya yang tersebar di media sosial melarang isu akidah dimainkan dalam politik.

Menurutnya, gejala itu amat berbahaya seperti yang telah berlaku dalam sejarah kemunculan Khawarij yang berpolitik menggunakan nama agama dengan mengkafirkan atau menganggap sebagai musuh Islam pihak yang tidak menyokong mereka.

Jelasnya, alasan puak Khawarij kononnya hendak menegakkan ‘hukum Islam’ mengikut tafsiran mereka.

Akibatnya, Dr Asri yang juga dikenal sebagai Dr MAZA itu berkata, sepanjang sejarah puak Khawarij telah berperang sesama Muslim.

“Jangan main isu akidah dalam politik. Ini bahaya. Khawarij dia main politik. Politik antara Ali dan Muawiyah.

“Khawarij tak puas hati dengan Ali dan Muawiyah. Apa slogan Khawarij? Tidak ada hukum melainkan Allah, sesiapa yang tidak berhukum dengan Allah, maka dia orang kafir.

“Mereka telah kafirkan Ali, Uthman, Muawiyah kerana bagi mereka tidak menjalankan hukum Allah menurut takrifan mereka.

“Mereka ambil ayat al-Quran yang diturunkan kepada kuffar, turunkan kepada orang Mukminin,” katanya.

Dr MAZA kemudiannya mengimbas kembali perjuangan Sayyiduna Ali bin Abi Talib dan para sahabat Nabi SAW dalam memerangi kelompok Khawarij yang sesat ini.

“Ali suruh Ibnu Abbas berhujah dengan Khawarij pasal Khawarij ini yang ada lekuk di pipi kerana kuat solat malam tapi siang kafirkan anak-anak orang Islam, memerangi orang Islam di atas dasar di atas dasar sesiapa yang tidak berhukum Allah, mereka orang kafir.

“Kata Ali dalam riwayat yang masyhur, jika kamu nak keras kepala juga, aku kafir dan sesat, aku minta tolonglah, jangan pergi kafirkan seluruh umat Muhammad dengan dosa dan kesalahanku.

“Kamu tahu bahawa Nabi memotong tangan pencuri tetapi dia beri harta pusaka. Nabi menghukum orang berzina, tetapi dia menyembahyangkan jenazahnya.

“Bagi orang Khawarij siapa buat dosa besar maka dia lawan Tuhan, maka dia kafir,” kata ilmuwan itu lagi.

Peringatan Dr MAZA itu tersebar ketika banyak pihak gusar dengan kenyataan melampau batas Pas yang menyamakan pendekatan pemerintahan Kerajaan Perpaduan-MADANI seperti pendekatan golongan munafik.

Kelmarin, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi Minda Presiden Pas tergamak mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan sifat munafik dan rejim Israel.

Dakwa Hadi, sikap memaksa rakyat untuk menyokong dan mendukung apa-apa sahaja ialah amalan purba zaman jahiliah yang turut diamalkan oleh Yahudi Zionis Israel di Palestin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan