Jangan normalisasikan unsur zina dalam drama, netizen minta tapis sebelum tayang

MAISARAH AISYA

Semakin banyak unsur zina yang dinormalisasikan dalam drama zaman kini, seolah-olah tiada tapisan dibuat.

Tidak kira adegan ranjang atau soft porno, ia dilihat semakin banyak malah buku ditulis juga seolah-oleh mengammbarkan betapa baratnya pemikiran orang zaman sekarang.

Rentetan itu, Timbalan Pengarah Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Ahmad Sanusi Azmi mengharapkan industri seni lebih cakna akan hal ini.

“Adalah menjadi satu kebimbangan apabila unsur perbuatan terkutuk yang dilarang oleh Allah dijadikan lakonan bagi sebuah drama yang menjadi tontonan masyarakat.

“Lebih menyedihkan, lakonan sebegini melibatkan warga Muslim sendiri sedangkan Allah secara jelas mengutuk perlakuan ini,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.

Kempen menjauhi zina ini sangat tegas di dalam al-Quran. Allah memerintahkan kita menjauhinya:
وَلا تَقرَبُوا الزِّنَى إنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلاً
“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia perbuatan yang keji dan seburuk-buruk perlakuan.” (Surah al-Isra’: 32)

Tambahnya, drama yang tak ditapis ini dilihat menjadi medium promosi dan normalisasi perlakuan mungkar.

“Jangan semata-mata kerana ingin melariskan produk kita, elemen keji dimasukkan sehingga ia menjadi normal dalam kalangan masyarakat. Jauhi zina,” ujarnya.

Rata-rata netizen turut bersetuju dan mengharapkan semua drama ditapis terlebih dahulu kerana peringkat umur yang melihat bukan sekadar orang dewasa.

“Astaghfirullahalazim di jauhkan menonton babak-babak berkenaan serta pihak berwajib membuat tapisan sebelum di siarkan.

“Harap pihak berwajib mainkan peranan agar babak tersebut ditapis. Sekiranya tidak ditapis ayuhlah kita boikot drama tersebut wahai masyarakat semua agar ianya tidak dinormalisasikan,” antara komen netizen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan