Kedutaan AS dikepung selama 6 hari bermula

Shahrul Shahabudin
Orang ramai berarak ke Kedutaan AS menjelang piket ‘Kepung Demi Palestin’ enam hari di bangunan itu.
KUALA LUMPUR: Pelbagai NGO dan parti politik berhimpun di sini menjelang piket enam hari “mengepung” kedutaan AS susulan tindakan negara itu memveto usaha Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mendesak gencatan senjata di Gaza.

Perhimpunan anjuran Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) melihat lebih 100 orang berarak dari Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak ke kedutaan itu.

Acara itu disokong 35 NGO, 15 pergerakan pelajar dan sayap pemuda parti politik seperti PKR, Amanah dan PAS. Pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Muda turut menyertai.

“Desakan kami sangat mudah, (kami) mahukan gencatan senjata sekarang,” kata ahli kanan sekretariat, Tian Chua.

“Kenapa kedutaan AS? Kerana AS menyediakan wang yang membolehkan pembunuhan besar-besaran diteruskan, dan mereka menyekat sebarang usaha oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk keamanan,” kata bekas naib presiden PKR itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda berkata perhimpunan itu diadakan untuk menghantar mesej solidariti rakyat Malaysia dengan perjuangan Palestin.

“Kita mahu menyampaikan mesej bahawa tidak seorangpun di negara kita menyokong atau bersimpati dengan AS dan Zionisme,” katanya.

Lebih 20 anggota polis dikerahkan mengawal keselamatan di depan Menara Tabung Haji, manakala kenderaan Black Maria menghalang laluan ke kedutaan itu.

Perhimpunan itu mendesak pembunuhan rakyat Palestin dihentikan; gencatan senjata segera, tetap dan tidak bersyarat; penamatan pertelingkahan bagi menangani keperluan mendesak orang awam di Gaza; dan pengiktirafan hak rakyat Palestin untuk negara berdaulat.

AS memveto draf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mendesak gencatan senjata kemanusiaan di Gaza awal bulan ini. Minggu lalu pula, AS mengugut memveto satu lagi draf resolusi.

Ini memaksa majlis keselamatan meminda resolusi itu dengan mendesak “tindakan segera” bagi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, dan bukannya “gencatan senjata”.

AS kemudian bersetuju tidak memveto resolusi yang dipinda itu, yang kemudian diluluskan pada Jumaat.

Dua protes dilakukan di luar kedutaan AS pada Oktober sebagai menunjukkan solidariti dengan Palestin selain mengutuk Isarel susulan perang di Gaza.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan