Memang agenda PN rupanya...

Azhar Rahman

Ada mesej tersirat yang penting di sebalik pengakuan terbuka Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, beberapa hari lalu.

Dengan kenyataan dibuatnya baru-baru ini barulah orang ramai tahu bahawa ahli parlimen pembangkang sebenarnya tidak pernah dipanggil untuk berbincang mengenai rundingan peruntukan.

Padahal itulah nasihat yang diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar pembangkang berunding secara diplomasi agar nasib rakyat di kawasan mereka boleh dibantu secara berkesan.

Ia juga membuktikan pemimpin PN tidak pernah bersungguh dalam membantu ahli-ahli parlimen sendiri mendapatkan peruntukan.

Sebelum ini Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, mendakwa rundingan telah dibuat dengan kerajaan melalui wakil PN, Takiyuddin Hassan.

Sekarang kita berhak bertanya: siapa yang bercakap benar?

Berdasarkan apa yang berlaku sehari dua ini, apa yang kita nampak hanyalah satu - pemimpin PN lebih gemar bermain politik untuk memperlihatkan seolah-olah mereka dianiaya.

Sedangkan hakikatnya mereka sendiri tidak ikhlas untuk berunding bersama kerajaan seperti yang dilakukan oleh PH semasa Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri.

Paling tidak bertanggungjawab adalah apabila pucuk pimpinan PN terus-menerus memberi harapan kepada para penyokong mereka bahawa usaha-usaha untuk menukar kerajaan giat dibuat.

Perkembangan ini menunjukkan pimpinan PN sebenarnya sengaja mengelak untuk menjalankan rundingan dengan kerajaan dengan matlamat agar mereka kononnya dimangsakan.

Pada masa sama kerajaan dipotretkan sebagai pihak yang menekan pembangkang tanpa sebab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan