HarapanDaily.com
SITI NUR ZAWANI
Netizen Israel biadab dan keterlaluan apabila dilaporkan mempersenda nasib rakyat Palestin di Gaza, di tengah serangan berterusan oleh rejim zionis.
Lapor Agensi Anadolu, banyak hantaran dari Israel muncul di media sosial mempersendakan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat Palestin, termasuk kekurangan air, elektrik, bahan api, dan makanan di kawasan itu.
Pengguna Israel memulakan trend baharu di media sosial, menggabungkan lagu daripada program komedi 2005 untuk memuat naik hantaran yang mempersendakan bencana kemanusiaan di Gaza.
Dalam beberapa hantaran daripada beberapa pengguna termasuk tentera Israel, kelihatan mereka muncul di hadapan kamera dengan melukis muka, bertudung dan pakaian tradisional Palestin dalam cubaan mempersendakan penduduk Gaza.
Lapor Agensi itu lagi, beberapa pempengaruh media sosial turut menyertai trend itu, dan sebahagian daripada mereka dilihat menggunakan mimik muka ketawa sambil berkongsi imej kemusnahan di Semenanjung Gaza.
Dalam satu video, seorang wanita dan dua anak perempuannya menutup kepala mereka secara mengejek dan menari mengikut lirik: “Ini adalah rumah saya, tanpa elektrik atau gas, adalah rumah saya”.
Satu lagi video memaparkan seorang lelaki menutup kepala dan menari berlatarbelakangkan bangunan runtuh di Gaza, menambah dimensi yang mengganggu kepada trend itu.
Walaupun video itu mendapat jutaan tontonan di media sosial, mereka tidak terlepas daripada kritikan.
Rakaman yang menunjukkan askar Israel di Tebing Barat menutup mata dan mengikat tangan tawanan Palestin, menyanyi di sekeliling mereka, dan memaksa tawanan menyanyi bersama, mencetuskan trend di media sosial, bulan lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan