Anne Muhammad
PETALING JAYA: Komuniti perniagaan berharap undang-undang anti ali-baba bakal diperkenal kerajaan dapat menyelamatkan kek ekonomi warga tempatan yang didakwa semakin diancam warga asing.
Mereka mendakwa undang-undang kini termasuk di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) ‘kurang taring’ menyaksikan ada sebilangan kawasan sektor perniagaannya dikuasai pendatang asing seperti dikesan dalam operasi di Jalan Silang, Kuala Lumpur, minggu lalu.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia Mohd Azamanizam Baharon berkata salah satu perkara perlu dipertimbangkan kerajaan adalah dengan menguatkuasakan pembatalan lesen perniagaan disalah guna.
Menurutnya, ketika ini banyak perniagaan warga asing apabila disiasat mendapati pembabitan warga tempatan sama ada yang menyewakannya dan nama mereka digunakan untuk memohon bagi pasangan mereka.
“Dari luar nampak perniagaan milik warga asing tetapi apabila disemak lesennya nama orang tempatan atau guna nama isteri.
“Perlu tolak dan batal lesen kalau ada penduduk tempatan ambil kesempatan, kena atasinya untuk menyelamatkan kek ekonomi warga tempatan,” katanya kepada FMT.
Isnin lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Rafizi Ramli berkata undang-undang anti-Ali Baba yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi membolehkan tindakan diambil terhadap rakyat tempatan yang “menyewakan” lesen perniagaan kepada pekerja asing.
Isu itu kembali berbangkit apabila operasi besar-besaran memberkas pendatang tanpa izin di Jalan Silang, Kuala Lumpur Khamis lepas mendapati banyak lesen penduduk tempatan digunakan warga asing untuk berniaga.
Julai lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan dalam proses merangka dasar anti-Ali Baba bagi menangani kesan negatif budaya itu terhadap ekonomi.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon pula berharap akta itu dapat menyelesaikan isu lambakan warga asing yang menguasai kegiatan sektor ekonomi tertentu seperti penjualan barangan asas di pasar.
Menurutnya, tinjauan ke Pasar Borong Selangor dan Selayang mendapati ramai peniaga asing menggunakan lesen penduduk tempatan.
“Penguat kuasa perlu menjalankan kerja dengan amanah, sekiranya orang awam boleh tahu rahsia terbuka ini…mustahil mereka tak tahu,” katanya.
Azamanizam turut berharap akta itu juga dapat membanteras tindakan syarikat bumiputera yang ‘mengalibabakan’ kontrak kepada pihak ketiga demi mengaut keuntungan atas angin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan