PAS beri isyarat macam kesuntukan waktu

Malaysiakini

Sikap bersungguh-sungguh PAS memujuk Umno agar kembali ke pangkuan mereka akhir-akhir ini lebih banyak menjanjikan tanda tanya berbanding jawapan, kata seorang pemimpin Pemuda Amanah.

Menurut Muaz Abdullah, Pemuda Amanah Kedah menganggap langkah tersebut memberi isyarat bahawa PN sedang mengejar sesuatu dan waktu pula semakin terbatas.

Kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Kedah itu, pihaknya yakin Bersatu juga sangat berharap agar Umno meninggalkan kerajaan perpaduan, namun hasrat itu tidak ditonjolkan dengan begitu ketara.

"Justeru Bersatu berharap tugas menarik Umno itu dijalankan oleh PAS dan bersedia untuk menikmati hasilnya jika usaha memporak-perandakan Umno itu berjaya," katanya.

Beberapa pemimpin kanan PAS kini dilihat memujuk ahli Umno agar memberikan sokongan kepada PN berbanding kerajaan, dan secara tidak langsung meminggirkan presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi.

Usaha itu semakin dipergiat selepas pilihan raya kecil di Kemaman pada 2 Dis lalu yang menyaksikan calon PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, mencatat kemenangan dengan majoriti lebih 37,000 undi.

Antara pemimpin kanan yang meminta Umno meninggalkan kerajaan ialah Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Muhammad Sanusi Md Nor.

Sebelum itu Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang meminta Umno menilai semula sokongan mereka kepada kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun bekas setiausaha agung Umno Ahmad Maslan semalam mengingatkan PAS dan Bersatu pernah menyatakan niat mereka secara terbuka untuk menggantikan Umno sebelum ini.

Muaz berkata dakwaan bahawa akan ada lagi ahli parlimen pembangkang yang sedang bersedia untuk mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan memang menggusarkan PN.

"Dengan sikap terbaru PAS adalah jelas PN kelihatan sangat terdesak dan seperti sangat kesuntukan waktu atas sebab tertentu," katanya yang juga bekas calon PH untuk kerusi parlimen Padang Terap pada tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan