Pemandu BMW mabuk sebabkan kematian 2 guru ditahan

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Polis menahan seorang lelaki yang memandu BMW bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan dua guru di Jalan Permatang Baru, di sini, awal pagi tadi.

Lelaki berusia 46 tahun itu dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Pemangku Ketua Polis Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, soal siasat mendapati kemalangan jam 2.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila pemandu BMW hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta dinaiki dua guru.

"Ketika itu BMW yang dipandu lelaki tempatan datang dari arah Sungai Lokan, Butterworth menghala Kepala Batas.

"Manakala pemandu dan penumpang Perodua Myvi datang dari arah Kepala Batas menghala Sungai Lokan, Butterworth.

"Pemandu BMW tidak mengalami sebarang kecederaan manakala dua mangsa yang menaiki Perodua Myvi meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Nor Salawati berkata, hasil ujian pernafasan ke atas pemandu BMW mendapati paras kandungan alkohol melebihi yang dibenarkan.

"Pemandu itu dibawa ke Mahkamah Butterworth pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Hafizi Mohamad di talian 01126967676," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan