Pemandu lori tak mengaku rogol anak kandung

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my
 Seorang pemandu lori berusia 39 tahun diiringi anggota polis di Mahkamah Butterworth di sini, atas pertuduhan merogol anak kandungnya berusia 14 tahun. FOTO DANIAL SAAD
Seorang pemandu lori berusia 39 tahun diiringi anggota polis di Mahkamah Butterworth di sini, atas pertuduhan merogol anak kandungnya berusia 14 tahun. FOTO DANIAL SAAD
Butterworth: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 14 tahun di sebuah hotel Oktober lalu.

Tertuduh berusia 39 tahun membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan jijik itu di bilik sebuah hotel di Simpang Ampat, Daerah Seberang Perai Selatan pada jam 2.30 pagi, 30 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap bapa kepada lima anak itu namun tertuduh memohon ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan perlu menyara anak masih bersekolah selain mangsa tinggal bersama bekas isterinya di Perak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu tidak boleh mendekati dan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 30 Januari depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan