KOSMO
BANGKOK – Seorang pemandu teksi di Thailand menjadi sasaran kecaman netizen selepas klip video memaparkan dia menggunakan kekerasan untuk mengusir penumpang daripada kenderaannya tular di media sosial, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Dalam video yang dimuat naik di laman Facebook, pemandu tersebut dirakam menarik tangan seorang penumpang wanita agar dia keluar daripada teksinya dalam kejadian di sebuah stesen minyak.
Penumpang warga asing tersebut enggan bekerjasama, menyebabkan pemandu teksi mengeluarkan barangan miliknya daripada kenderaan itu.
“Kejadian ini berlaku di stesen minyak Bang Chak di Phuket. Apa yang telah terjadi? Ia mencemarkan imej negara Thailand dan pemandu-pemandu teksi di Phuket.
“Wanita tersebut telah melaporkan kejadian kepada polis. Kami sedang menanti butiran lanjut,” demikian menurut hantaran sebuah akaun Facebook.
Akaun sama kemudian berkongsi video pemandu terbabit menjelaskan situasi sebenar yang berlaku semalam.
Menurutnya, penumpang berkenaan meminta dia menutup pendingin hawa kenderaan dan membuka tingkap.
Pemandu tersebut menuruti permintaan itu, namun dia membiarkan pendingin hawa di tempat duduknya dipasang ke arahnya kerana berasa panas.
Disebabkan tidak berpuas hati dengan tindakan itu, penumpang tersebut didakwa menendang pintu teksi, menyebabkan dia dihalau keluar oleh pemandu.
Selepas kedua-dua pihak membuat laporan polis, kes itu dilaporkan telah diselesaikan dengan pemandu teksi membuat permohonan maaf dan menghantar wanita berkenaan pulang ke hotelnya.
Video itu mendapat perhatian netizen dengan ada yang menyebelahi pemandu teksi sambil berkata bahawa pelanggan tidak semestinya betul.
Ada juga sebilangan netizen yang menjelaskan bahawa pemandu teksi tidak seharusnya menggunakan kekerasan ke atas penumpang, tanpa mengira masalah yang timbul. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan