Penyelenggara maut kepala tersepit pintu lif

Bernama
Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, menurut bomba. (Gambar JBPM)
GEORGE TOWN: Seorang pekerja penyelenggara maut selepas kepalanya tersepit ketika menjalankan kerja menyelenggara lif di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Burmah, di sini.

R Tinesh Kumar, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi pekerja penyelenggara selamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.45 petang tadi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati dua lelaki, iaitu pekerja penyelenggara yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan lif terperangkap dalam lif, namun seorang daripadanya tersepit di bahagian kepala pada pintu lif dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Manakala seorang lagi berusia 53 tahun dalam keadaan selamat. Pihak bomba kemudiannya menjalankan kerja menyelamat dengan membuka pintu lif sebelum mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemeriksaan pasukan perubatan mendapati lelaki tersepit itu telah meninggal dunia dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan