PM sahkan jemaah menteri akan bertambah

Malaysiakini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan mengumumkan rombakan kabinet pada jam 11 pagi ini.

Katanya, jemaah menteri akan bertambah tetapi lebih kecil berbanding kerajaan sebelum ini.

“Ada sikit pertambahan, tapi saiznya lebih kecil dari kabinet kerajaan sebelum ini.

“Sidang media (pengumuman) akan berlangsung pukul 11 pagi ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Semalam satu notis Bernama kepada media menyatakan lantikan baru akan mengangkat sumpah pada kira-kira jam 2.30 petang di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Anwar pada sidang media hari ini juga memaklumkan akan memindahkan sebahagian tugas dan tanggungjawabnya namun, dia tidak menyatakan kementerian mana yang akan terlibat.

Spekulasi sebelum ini bertiup kencang bahawa sekurang-kurangnya lima kementerian dijangka terbabit dalam rombakan kabinet ihari ini.

Selain menamakan pengganti kepada Allahyarham Salahuddin Ayub sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup (KPDN), kementerian lain dijangka terbabit dalam rombakan adalah ialah Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Komunikasi Digital (KKD), Kementerian Kesihatan (KKM); Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Selain itu, spekulasi juga menyebut perubahan lain termasuk membabitkan satu daripada portfolio Timbalan Perdana Menteri, jawatan Menteri Kewangan II, pengwujudan semula Kementerian Wilayah dan pemisahan sekurang-kurangnya dua kementerian.

Kabinet Anwar dibentuk pada Disember tahun lalu, susulan pemuafakatan antara PH, BN dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak. Ia terdiri daripada 28 menteri dan 27 timbalan menteri termasuk dua timbalan perdana menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan